Sabah tetapkan waktu operasi perniagaan, perkhidmatan penting ikut kesesuaian

Sabah tetapkan waktu operasi perniagaan, perkhidmatan penting ikut kesesuaian

KOTA KINABALU, 13 April — Keputusan menetapkan waktu operasi perniagaan dan perkhidmatan penting di Sabah yang berbeza berbanding di peringkat nasional dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dibuat selepas mengambil kira kesesuaian di negeri itu.

Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Safar Untong berkata Sabah telah mengambil kira semua aspek sebelum membuat keputusan itu.

“Waktu operasi perkhidmatan adalah di bawah bidang kuasa kerajaan tempatan. Kita melihat tempoh operasi ini mencukupi dan memadai. Kita mesti berbalik kepada tujuan asal PKP iaitu untuk mengawal pergerakan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas perbezaan waktu operasi perniagaan serta perkhidmatan penting antara Sabah dan nasional sepanjang tempoh PKP.

Sebelum ini, Sabah memutuskan antara lain waktu operasi pasar raya, pergerakan kenderaan persendirian, pengangkutan awam, pengangkutan komersial dan stesen minyak bermula pada 6 pagi hingga 6 petang; pasar awam (6 pagi hingga 2 petang) dan industri kilang berasaskan makanan dan perubatan (8 pagi hingga 5 petang).

Safar berkata keputusan berkaitan waktu operasi perniagaan dan perkhidmatan sepanjang PKP di Sabah dibuat menerusi Pusat Arahan COVID-19 Sabah, yang ahlinya terdiri daripada setiausaha tetap kementerian di negeri itu.

Beliau juga berkata kerajaan negeri tidak menghalang operasi mana-mana perkhidmatan penghantaran barangan penting terutama keperluan makanan seperti ikan dan sayur-sayuran ke daerah yang memerlukan sepanjang tempoh PKP.

Bagaimanapun, beliau berkata pengusaha penghantaran barangan keperluan perlu menunjukkan surat kebenaran daripada pihak berkuasa seperti Jabatan Perikanan dan Jabatan Pertanian bagi memudahkan perjalanan dari satu daerah ke daerah lain.

“Kita juga memohon kepada semua pengusaha untuk mematuhi prosedur operasi standard termasuk masa dibenarkan beroperasi yang telah ditetapkan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Safar berkata berdasarkan rekod harian, pematuhan PKP di Sabah meningkat sehingga menghampiri 98 peratus.

— BERNAMA

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)