Sabar, patuh PKP demi kesenangan bersama pada masa akan datang – Ismail Sabri

Sabar, patuh PKP demi kesenangan bersama pada masa akan datang – Ismail Sabri

PUTRAJAYA, 28 April — Tiada gunanya Perintah Kawalan Pergerakan ditamatkan untuk tempoh seketika dan dikenakan semula selepas itu, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Ismail Sabri berkata kerajaan mahu sekiranya PKP ditamatkan bagi membendung wabak COVID-19, ia hendaklah untuk tempoh selama-lamanya dan beliau seterusnya mengajak rakyat bersabar dengan biar susah sekarang demi kesenangan pada masa akan datang.

“Bagi saya, kalau kita nak buka semula, baik buka sepenuhnya sampai bila-bila. Tiada guna kita tamatkan PKP, kemudiannya terpaksa mengenakan semula PKP. Ia menyukarkan hidup kita, Lebih baik berdisiplin dan susah sekarang demi kesenangan akan datang,” katanya pada sidang akhbar di sini.

Beliau berkata, PKP boleh ditamatkan lebih awal dan rakyat boleh nikmati banyak kelonggaran sekiranya kes COVID-19 berkurangan.

“Walaupun sekarang nampak kes penurunan, tetapi ia boleh naik balik. Ada negara yang sudah mencatatkan penurunan, kemudian menamatkan PKP, dan tiba-tiba kes COVID-19 naik mendadak dan terpaksa tutup semula,” katanya.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam peringkat akhir merangka prosedur operasi standard (SOP) baharu PKP di zon-zon hijau yang dijangka dimuktamadkan minggu hadapan.

Beliau berkata, SOP yang dirangka bersama Kementerian Kesihatan (KKM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu antara lain menyentuh pergerakan yang boleh dilakukan oleh penduduk di kawasan tertutup seperti universiti dan kawasan perumahan.

“Contohnya, penduduk di Projek Perumahan Rakyat (PPR) setelah sebulan lebih tidak boleh keluar, didapati tidak ada gejala dalam kalangan mereka, mungkin kita akan mencadangkan mereka dibenarkan untuk keluar turun ke bawah dan seumpamanya.

“Tetapi mereka tidak boleh keluar dari kawasan perumahan mereka. Bolehlah bawa anak turun, mungkin boleh keluar mengikut blok dan waktu ditentukan dua hingga tiga jam setiap blok,” jelasnya.

Menurut Ismail Sabri, MKN juga sedang mendapatkan pandangan dari semua kementerian supaya SOP yang akan dikeluarkan bersifat menyeluruh dan meliputi semua kementerian.

Menyentuh perkara lain, beliau berkata polis telah menangkap 489 individu semalam kerana ingkar PKP dan menambah kata polis dan tentera turut mengadakan 832 sekatan jalan raya dan memeriksa 616,917 kenderaan di seluruh negara semalam.

— BERNAMA

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)