Safawi dedikasi kemenangan ACL untuk rakyat Malaysia

Safawi dedikasi kemenangan ACL untuk rakyat Malaysia

KUALA NERUS,. Pemain bintang Johor Darul Ta’zim (JDT), Safawi Rasid mendedikasikan Anugerah Gol Terbaik Sedekad oleh Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) yang dimenanginya kepada seluruh rakyat Malaysia.

Pemain kelahiran Terengganu itu berkata beliau amat berterima kasih kepada seluruh peminat JDT dan rakyat Malaysia yang telah membantunya memenangi anugerah terbabit yang disifatkan sebagai satu penghargaan besar dalam perkembangan kariernya.

“Bagi saya anugerah ini adalah (pencetus) suatu semangat baharu kerana bukan senang pemain kita nak dapatkan gol terbaik dan ia sesuatu yang saya amat hargai.

“Terima kasih kepada rakyat Malaysia yang bantu saya menang gol ACL ini,” katanya ketika ditemui selepas perlawanan Liga Super di antara JDT dan Terengganu FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, malam tadi.

Safawi memenangi anugerah itu menerusi undian terbuka peminat bola sepak Asia yang berlangsung selama tiga minggu bagi meraikan jaringan terbaik dalam saingan Liga Juara-Juara Asia (ACL) sejak 10 tahun lalu.

Beliau yang pada Mei lalu dinobatkan sebagai penjaring Gol Lencongan Terbaik ACL, menyingkirkan 19 pencalonan lain selepas meraih 34 peratus undi.

Mengulas perkembangan lain, Safawi yang juga pemain kebangsaan berkata beliau belum memikirkan soal penghijrahannya ke kelab Portugal Portimonense SC kerana mahu memberi tumpuan membantu JDT mempertahankan kejuaraan Liga Super yang masih berbaki empat perlawanan.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)