Sah, Noraini Kekal Ketua Wanita

Sah, Noraini Kekal Ketua Wanita

KUALA LUMPUR – Bekas Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Dr Noraini Ahmad mengesahkan bahawa portfolio Ketua Pergerakan Wanita UMNO Malaysia kekal dalam genggamannya, selepas secara rasmi menewaskan pencabar, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil.

Perkara itu diumumkannya sendiri menerusi satu hantaran di Facebook pagi ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Parit Sulong turut menzahirkan ucapan terima kasih dan penghargaan kepada semua jentera Wanita di seluruh negara.

“Alhamdullillah. Segala puji hanya bagi Allah SWT.

“Terima kasih yang tidak terhingga kepada Wanita UMNO di seluruh negara serta sahabat #SusahSenangBersama di atas sokongan dan kepercayaan kepada saya sebagai Ketua Wanita UMNO Malaysia.

“Ayuhlah, bersama kita meneruskan pemerkasaan Wanita untuk ke tahap lebih tinggi menjadi realiti,” katanya menerusi hantaran tersebut.

Difahamkan, Noraini memperoleh 106 undi daripada keseluruhan 189 bahagian di seluruh negara.

Getaran awal pagi tadi yang memetik keputusan tidak rasmi melaporkan, Noraini berjaya mengetepikan Shahrizat, dalam satu pertandingan sengit.

Kemenangan itu meranapkan impian Shahrizat yang mahu kembali ke arena politik, berbekalkan visi membawa suara akar umbi dan melakar perubahan dalam parti, seperti dilaungkan.

Shahrizat yang juga bekas Ahli Parlimen Lembah Pantai serta Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat itu memutuskan untuk tidak mempertahankan kedudukannya sebagai Ketua Wanita pada pemilihan parti 2018.

Pemilihan pada tahun tersebut menyaksikan Noraini dijulang sebagai ketua baharu, selepas menewaskan dua pesaing, Datuk Azizah Mohd Dun dan mantan Ketua Wanita UMNO, Tan Sri Dr Siti Zaharah Sulaiman.

Sementara itu BERNAMA melaporkan, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau, Dr Muhamad Akmal Saleh memenangi jawatan Ketua Pemuda UMNO.

Menerusi keputusan tidak rasmi setakat jam 1.45 pagi tadi, Dr Muhamad Akmal, 32, jauh mengatasi tiga pencabarnya terdiri daripada Ahli Parlimen Paya Besar, Datuk Mohd Shahar Abdullah, Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) parti, Datuk Armand Azha Abu Hanifah dan Meor Hassan Mat Ali.

– Getaran, 12 Mac 2023

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )