
Saham Kerjaya Prospek naik selepas peroleh kontrak RM98.1 juta di Pulau Andaman
KUALA LUMPUR,. Saham Kerjaya Prospek Group Bhd meningkat dalam dagangan pagi selepas syarikat itu berjaya memperoleh kontrak kedua dalam tempoh seminggu, membabitkan projek hartanah bernilai RM98.1 juta di Pulau Andaman yang diperoleh daripada syarikat sekutunya, Eastern Oriental Bhd.
Dalam nota penyelidikannya hari ini, Kenanga Investment Bank Bhd berkata kejayaan terbaharu itu menjadikan jumlah kontrak Kerjaya Prospek yang diperoleh bagi tahun ini berjumlah RM708 juta, mewakili 39 peratus daripada sasaran penambahan kontrak bagi tahun kewangan 2025 sebanyak RM1.8 bilion.
“Nilai perolehan kontrak kumpulan yang belum diselesaikan berjumlah RM4.4 bilion yang memberikan keterlihatan pendapatan untuk tempoh tiga tahun akan datang.
“Ia juga mempunyai nilai tender berjumlah RM2.0 bilion dan sedang membida secara bersama dengan Samsung untuk tiga projek pusat data bernilai RM3.0 bilion, dengan keputusannya dijangka diketahui menjelang suku ketiga tahun ini,” tambahnya.
Setakat 10.24 pagi, saham Kerjaya Prospek naik satu sen kepada RM2.07, dengan 61,200 saham diniagakan.
— BERNAMA