Saham Sapura Energy naik selepas umum peroleh kontrak Qatar

KUALA LUMPUR,. Saham Sapura Energy Bhd di Bursa Malaysia meningkat semasa awal dagangan hari ini, dipacu oleh laporan bahawa syarikat itu memperoleh kontrak utama Timur Tengah yang ketiga di Qatar.

Setakat pukul 9.55 pagi, saham itu menambah satu sen kepada 12.5 sen dengan 79.85 juta saham bertukar tangan.

Semalam, Sapura mengumumkan bahawa anak syarikat milik penuhnya, Sapura Fabrication Sdn Bhd memperoleh kontrak daripada Total E&P Golfe Ltd untuk menyediakan kejuruteraan, pemerolehan, pembekalan, pembinaan, pemasangan dan pengoperasian awal saluran paip menghubungkan tiga platform di Medan Al-Khalij, Blok 6 di Qatar.

Projek saluran paip itu adalah sebahagian daripada beberapa kontrak yang berjaya diperoleh bahagian kejuruteraan dan pembinaan serta bahagian penggerudian Sapura Energy, dengan nilai keseluruhan kira-kira RM611 juta.

“Kejayaan memperoleh kontrak ini membuktikan daya tahan Sapura Energy dalam persekitaran mencabar, memajukan strategi syarikat dengan memanfaatkan kecekapan dan asetnya untuk memperluas capaian di peringkat antarabangsa,” menurut syarikat itu dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia semalam.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )