Saifuddin sumbang bubur lambuk kepada penduduk Chengal Lempong
KUANTAN, 16 Mei — Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah menyerahkan sumbangan bubur lambuk yang begitu sinonim sebagai juadah berbuka puasa kepada penduduk sekitar Kampung Cengal Lempong di sini hari ini.
Sumbangan Saifuddin, yang juga Ahli Parlimen Indera Mahkota, disampaikan Setiausaha Sulit beliau Muhamad Kisfi Zainal secara pandu lalu kepada penduduk sebagai langkah mematuhi prosedur operasi standard (SOP) jarakan sosial ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
“Kita mengagihkan 1,200 bungkus bubur lambuk kepada penduduk dan juadah ini disediakan penduduk setempat. Program ini dilaksanakan kali pertama pada tahun lalu.
“Pemberian ini diharapkan sedikit sebanyak dapat menambahkan keceriaan sambutan bulan Ramadan dan diharapkan dapat diteruskan sebagai tradisi tahunan,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.
Selain bubur lambuk, Muhamad Kisfi berkata Pejabat Ahli Parlimen Indera Mahkota menyerahkan bantuan barangan keperluan asas seperti beras dan minyak masak kepada 79 cawangan UMNO dalam kawasan itu untuk disalurkan kepada 420 penerima.
Sementara itu, Tok Ampat Kampung Cengal Lempong Shikh Zahari Shikh Sulaiman berkata penyediaan bubur lambuk tersebut mengambil masa hampir tiga jam menggunakan bahan-bahan seperti 25 kilogram ikan selayang, beras dan santan serta pelbagai jenis sayur-sayuran.
“Saya berbesar hati dapat membantu menyediakan juadah istimewa ini dan berterima kasih dengan sumbangan daripada Pejabat Ahli Parlimen Indera Mahkota bagi membolehkan kami memasak bubur ini.
“Saya berharap program seperti ini dapat diteruskan lagi pada bulan Ramadan akan datang bagi memeriahkan lagi suasana bulan puasa di kampung ini,” katanya.
— BERNAMA