Salahuddin mahu Idris berterus terang isu subsidi haji

Salahuddin mahu Idris berterus terang isu subsidi haji

KUALA LUMPUR — Timbalan Presiden Amanah Salahuddin Ayub meminta Kerajaan Keluarga Malaysia menyatakan secara tuntas berapakah kadar subsidi yang akan diberikan kepada jemaah haji pada tahun ini.

Dalam satu kenyataan, Salahuddin berkata ketika ini perkara tersebut tidak dinyatakan oleh mana-mana pihak termasuk Menteri di Jabatan Perdana Menteri Idris Ahmad.

“Kerajaan digesa untuk menyatakan adakah kadar bayaran sebanyak RM9,980 untuk setiap jemaah haji seperti tahun-tahun lalu akan dikekalkan atau sebaliknya.

“Oleh itu, saya menggesa kepada pihak Lembaga Tabung Haji (TH) dan kerajaan agar segera menyatakan berapakah kadar subsidi yang boleh diperuntukkan kepada jemaah haji pada tahun ini,” kata beliau.

Semalam TH memaklumkan kos untuk menguruskan jemaah haji negara ini meningkat sebanyak 12 peratus, menjadikan jumlah keseluruhan bagi setiap seorang mencecah kira-kira RM25,000.

Idris hari ini memberitahu, jemaah haji yang pergi ke Tanah Suci melalui TH tetap akan diberikan subsidi. Bagaimanapun naib presiden PAS itu tidak menyatakan berapakah jumlah subsidi yang akan dikeluarkan.

Pada 31 Mac lalu Idris memberitahu Dewan Negara bahawa kos mengerjakan haji di negara ini tidak pernah berubah sejak 2009. Ia mencetuskan kebimbangan bahawa setiap jemaah perlu mengeluarkan lebih banyak belanja bagi mengerjakan haji pada musim ini.

Salahuddin berkata kerajaan juga bertanggungjawab untuk menjelaskan segera jumlah kuota menunaikan haji yang diperuntukkan untuk Malaysia.

Setakat ini, kata Ahli parlimen Pulai itu, orang ramai masih tidak mendapat sebarang maklumat mengenainya.

Berdasarkan kenyataan Idris hari ini, katanya, Arab Saudi masih belum memberitahu jumlah kuota yang diberikan kepada Malaysia walaupun menjanjikan maklumat tersebut sebelum Ramadan.

 

CATEGORIES
Share This

COMMENTS Wordpress (0) Disqus ( )