Salifu pemain import kedua Selangor FC

Salifu pemain import kedua Selangor FC

SHAH ALAM,. Selangor FC mengumumkan Rauf Salifu menjadi pemain import kedua skuad Gergasi Merah untuk menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga-M) 2023.

Selangor FC, dalam kenyataan menerusi portal rasminya, memaklumkan Malaysia menjadi destinasi terbaru pemain muda berusia 21 tahun itu, setelah semusim di Liga MLS NEXT Pro di Amerika Syarikat.

Sebelum melebarkan kariernya ke Amerika Syarikat, pemain berasal dari Accra, Ghana, itu turut mencipta pencapaian luar biasa pada musim 2020-2021 dengan menjaringkan 21 daripada 58 gol bagi pasukan Accra Lions FC dalam 28 perlawanan.

“Ia sekali gus membantu pasukannya layak ke Liga Perdana Ghana (liga utama) daripada Liga Divisyen Dua negara tersebut.
“Statistik cemerlangnya itu membuka jalan kepadanya untuk beraksi di Amerika Syarikat pada musim 2022 bersama Sporting Kansas City II, pasukan pembangunan Sporting Kansas City yang beraksi di Liga MLS NEXT Pro,” menurut kenyataan itu.

Salifu, dalam kenyataan sama, berkata kedudukan Selangor FC mempunyai penyokong yang sangat ramai menjadi antara sebab beliau memilih untuk beraksi di kelab berkenaan.

“Dengan kehadiran saya di laman Gergasi Merah, saya mengharapkan untuk tidak mengecewakan penyokong Selangor FC serta rakan sepasukan.

“Ini kali pertama saya berada di Asia. Cuaca di Malaysia lebih kurang sama di Ghana, jadi saya yakin ini membantu saya untuk cepat menyesuaikan diri di sini,” katanya yang memulakan latihan rasmi semalam.

Salifu merupakan pemain kelima terbaharu pasukan Selangor FC selepas skuad itu memperkenalkan import pertama, Noor Al-Rawabdeh dari Jordan dan bakat tempatan, Ahmad Khuzaimi Piee, V. Ruventhiran dan Mohamad Faisal Abdul Halim, sebelum ini.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)