Saloma Link dibuka hujung Nov ini
KUALA LUMPUR,. Bakal menjadi tarikan baharu di ibu negara, jambatan pejalan kaki Saloma Link yang menghubungkan Kampung Baru dan kawasan berdekatan Menara Berkembar Petronas (KLCC) dijangka dibuka kepada umum pada hujung November ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu (PKB) Zulkurnain Hassan berkata jambatan sepanjang 370 meter melibatkan kos RM31 juta itu telah 70 peratus siap dibina.
Mengetengahkan seni bina berkonsepkan sirih junjung, beliau berkata pembinaan jambatan itu bukan sahaja akan menggalakkan orang ramai terutamanya pelancong untuk datang ke Kampung Baru malah akan menjadi simbol ikonik baharu ibu negara.
“Kita juga telah melakukan beberapa penambahbaikan misalnya tambahan lampu LED (diod pemancar cahaya) pada bahagian keseluruhan bumbung, yang boleh bertukar warna agar ia kelihatan lebih menarik pada waktu malam,” katannya kepada Bernama.
Beliau berkata penggunaan jambatan itu juga dapat memendekkan masa perjalanan di samping menjamin keselamatan pejalan kaki.
“Biasanya perjalanan berjalan kaki dari Kampung Baru ke KLCC mengambil masa lebih 30 minit dan perlu melalui jalan raya dengan trafik yang sibuk.
“Menggunakan jambatan ini, pengguna hanya akan mengambil masa kira-kira tujuh minit dari Jalan Saloma ke Jalan Raja Muda Musa 3,” jelasnya.
Lebih menarik, Zulkurnain berkata pengguna juga berpeluang mengambil gambar berlatarkan KLCC di dua kawasan bergambar yang disediakan di jambatan itu.
Saloma Link dibina berhampiran Stesen LRT Kampung Baru merentasi Lebuh Raya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (AKLEH), menghubungkannya dengan Jalan Saloma yang terletak di sisi bangunan Menara Public Bank berhadapan Jalan Ampang, tidak jauh dari KLCC.
— BERNAMA
Oleh Hafizah Tan (Eksklusif)