
Sambutan 60 tahun Sarawak Merdeka meriah, jasa Tok Nan dikenang
Oleh: Ramani P
KUCHING – Sambutan 60 Tahun Sarawak Merdeka diadakan dengan penuh meriah pagi ini di Padang Mereka yang dirasmikan oleh Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Abang Openg.
Premier Sarawak dalam ucapan beliau, mengingatkan jasa Allahyarham Pehin Sri Adenan Satem (Tok Nan) yang memulakan inisiatif untuk mengembalikan hak-hak Sarawak yang terhakis ketika beliau memegang tampuk kepimpinan Kerajaan Sarawak.
“Seluruh rakyat Sarawak menyanjungi perjuangan yang telah dimulakan oleh beliau untuk mengangkat maruah dan martabat Sarawak Ibu Pertiwi kita sebagai sebahagian daripada wilayah yang menubuhkan Malaysia. Terima kasih Tok Nan.”
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pasukan keselamatan yang telah berjuang untuk menentang keganasan dan ideologi komunisme mulai awal tahun 60an di bawah kepimpinan Ketua Menteri, Allahyarham Tun Abdul Rahman Ya’akob aktiviti komunis berakhir dengan perjanjian Sri Aman pada 1973.
PENCAPAIAN SEJAK 2017
Sejak 2017, setelah saya mengambil alih tampuk Kerajaan Sarawak daripada Allahyarham Pehin Sri Adenan, bersama rakan-rakan dalam Kabinet Kerajaan GPS, kami telah berusaha sedaya upaya untuk mengangkat status ekonomi Sarawak untuk menjadi sebuah negeri maju berpendapatan tinggi menjelang 2030.
“Daripada sebuah ekonomi konvensional, Sarawak kini berada pada landasan yang kukuh untuk menjadi sebuah ekonomi yang dipacu oleh teknologi digital, data dan innovasi.” petikan daripada ucapan Premier Sarawak.
MA63
“Tok Nan tidak ada bersama kita lagi tetapi saya ingin memberi jaminan bahawa usaha untuk mengembalikan hak Sarawak yang terhakis akan diteruskan sehingga semua yang diperuntukan kepada Sarawak pada perjanjian tersebut dihormati dan dikotakan.
“Saya mengucapkan terima kasih kepada kepimpinan Kerajaan Perpaduan yang telah baru-baru ini bersetuju mengembalikan kepada Kerajaan Negeri 52 lot tanah yang tidak dibangunkan termasuk bangunan Pejabat Pos Sarawak yang bersejarah.
“Sebelum ini melalui proses penurunan kuasa Sarawak telah diberi kuasa untuk melaksanakan projek RM50 juta ke bawah melalui JKR Sarawak dan Jabatan Pengairan dan Saliran Sarawak yang sekali gus diiktiraf sebagai Jabatan Teknikal.
“Selain itu, kita juga telah berjaya meletakkan wakil negeri sebagai ahli Lembaga Pengarah Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) sejajar dengan peruntukan Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan.”
PENDIDIKAN
“Dalam bidang pendidikan, Sarawak tidak bergantung semata-mata kepada program dan inisiatif Kerajaan Persekutuan walaupun bidang pendidikan berada di bawah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan.
“Bagi tujuan mengekalkan konsistensi dan dinamika dasar sesuai dengan keperluan semasa dan juga tuntutan keilmuan pada masa hadapan selaras dengan kuasa yang diberi kepada Sarawak di bawah Perkara 17 Inter-Governmental Committee Report (IGC).
“Kerajaan Sarawak telah menyusun beberapa inisiatif bertujuan untuk memartabatkan bidang pendidikan di Sarawak agar setaraf dengan standard negara-negara yang sudah maju dalam bidang pendidikan seperti Singapura.”
Penglibatan 75 kontijen daripada pelbagai agensi kerajaan, badan berkanun atau GLC’s, pihak berkuasa tempatan dan persatuan dalam acara perhimpunan serta perarakan ini melambangkan pelbagai lapisan masyarakat yang datang daripada latar belakang kaum, bangsa dan agama yang berbeza-beza, dengan penuh warna warni berpakaian tradisi lagi bersemangat.
Sarawak telah meraikan 22 Julai sebagai Hari Kemerdekaan sejak 2016 kerana pada tarikh itulah pihak koloni British telah menyerahkan kuasa kepada rakyat Sarawak untuk mentadbir negeri ini.
Setelah 100 tahun (1841-1941) berada di bawah pentadbiran keluarga Brooke dan 17 tahun (1946-1963) di bawah British Crown Colony, Sarawak terlepas daripada belenggu kuasa-kuasa asing.