Sambutan Maal Hijrah dalam kebiasaan baharu 19 Ogos ini: Zulkifli

Sambutan Maal Hijrah dalam kebiasaan baharu 19 Ogos ini: Zulkifli

KUALA LUMPUR,. Sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan Tahun 1442H/2020M akan berlangsung dalam majlis ringkas di Masjid Negara pada 19 Ogos ini, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Beliau berkata sambutan diadakan mengikut kebiasaan baharu dengan jumlah peserta dihadkan selain perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan pihak berkuasa bagi mengekang penularan COVID-19.

“Untuk sambutan peringkat kebangsaan, kita buat dalam bentuk amat ringkas iaitu pada sebelah petang terakhir tahun Hijrah 1441 dan insya-Allah akan selesai selepas solat Maghrib dan pada malamnya diadakan solat hajat.

“Anugerah (Maal Hijrah) akan dibuat di peringkat kebangsaan di Masjid Negara pada malam tersebut dalam kapasiti yang amat terhad, ringkas tetapi tujuannya untuk meninggikan syiar agama dan menzahirkan semangat hijrah Rasulullah SAW diadaptasikan dan dilaksanakan dalam kehidupan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Meja Bulat Jawatankuasa Task Force Penguatkuasaan Isu-isu Semasa Agama di Media Sosial Bil 1/2020, di sini semalam.

Zulkifli berkata sambutan Maal Hijrah bagi peringkat negeri pula tertakluk kepada pengurusan di negeri masing-masing.

Sementara itu, beliau berharap penubuhan Jawatankuasa Task Force Penguatkuasaan Isu-isu Semasa Agama di Media Sosial tersebut akan dapat menghasilkan penyelesaian kepada isu-isu berkaitan golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT), penghinaan terhadap agama Islam, ajaran sesat dan ateisme (fahaman tidak mengakui kewujudan tuhan).

“Saya berharap pelaksanaan yang berkesan dapat dimuktamadkan, bukan untuk menghukum semata-mata tetapi menyelesaikan masalah umat Islam untuk menuju kehidupan yang lebih harmoni,” katanya.

Menurutnya, persidangan itu diadakan bagi meneliti dan mengkaji secara mendalam langkah-langkah yang boleh diambil terhadap isu-isu menghina agama Islam di media sosial dengan mengambil kira aspek tarbiah, penerangan, pemulihan, pencegahan dan undang-undang. — Bernama

Persidangan sehari itu disertai ahli mesyuarat yang dilantik oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan antaranya wakil Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan. — Bernama

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )