
Sambutan Songkran Peringkat Kebangsaan di Perak 11 hingga 13 April
PUTRAJAYA,. Kementerian Perpaduan Negara (KPN) dengan kerjasama Persatuan Siam Malaysia akan menganjurkan Majlis Perayaan Songkran Peringkat Kebangsaan pada 11 hingga 13 April ini di Dewan Songkran Kampung Tasek, Pengkalan Hulu, Perak.
Songkran adalah majlis keraian utama dan penuh bermakna dalam kalendar masyarakat Bumiputera Siam di Malaysia, yang menandakan kedatangan tahun baharu dengan penuh kesyukuran dan kegembiraan.
Sambutan itu juga sarat dengan nilai budaya bagi memperkenalkan tradisi, seni, dan budaya etnik minoriti Siam di Malaysia.
Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang berkata sambutan itu juga merupakan platform penting bagi memperkenalkan adat resam dan budaya masyarakat Siam kepada seluruh rakyat Malaysia.
“Ia sejajar dengan matlamat Kerajaan MADANI dalam membudayakan perpaduan dan meraikan kepelbagaian kaum, budaya dan agama di Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Program tiga hari itu bakal diserikan dengan pelbagai pengisian menarik seperti perarakan tradisional Songkran, pameran budaya dan makanan tradisional, pertunjukan kebudayaan (tarian, seni dan muzik), pertandingan permainan tradisional, aktiviti mandi air (water splashing) dan aktiviti sosial dan kesenian bersama komuniti.
KPN mengajak orang ramai terutama di kawasan berhampiran untuk turut serta memeriahkan sambutan itu, dan maklumat lanjut mengenainya boleh diperoleh daripada laman sosial rasmi KPN.
— BERNAMA