Sanna Marin raih sokongan parti Demokrat Sosial untuk muncul sebagai PM termuda Finland

HELSINKI,. Parti Demokratik Sosial Finland (SDP), antara lima parti yang membentuk kerajaan gabungan, pada Ahad memilih Sanna Marin yang berusia 34 tahun sebagai perdana menteri paling muda negara itu, lapor agensi berita China Xinhua.

Marin, yang kini Menteri Pengangkutan dan Komunikasi Finland, menang tipis bagi mengatasi Antti Lindtman, pengerusi Kumpulan Anggota Parlimen Parti Demokratik Sosial yang berusia 37 tahun, dalam keputusan undian 32-29.

Undian itu dilakukan Majlis Parti Demokratik Sosial pada Ahad petang dan keputusannya diumumkan menerusi siaran televisyen nasional.

Jawatan perdana menteri kosong apabila bekas Perdana Menteri Antti Rinne terpaksa meletak jawatan selepas Parti Tengah, antara rakan kongsi kerajaan gabungan, hilang kepercayaan terhadap beliau.

Komposisi gabungan sebelum ini akan diteruskan.

Kelima-lima parti bermesyuarat pada Ahad petang dan berjanji akan mematuhi program kabinet yang berundur.

Gabungan itu terdiri daripada Parti Demokrat Sosial, Parti Tengah, Parti Hijau, Parti Perikatan Kiri dan Parti Rakyat Sweden.

Susulan kemenangan beliau, Marin memberi kenyataan ringkas yang menggesa perpaduan parti. Kaedah rasmi perubahan kerajaan akan diteruskan pad Isnin.

Media tempatan berkata Presiden Sauli Niinisto mungkin melantik kerajaan baharu pada Selasa.

Marin memegang jawatan sebagai Menteri Pengangkutan dan Komunikasi Finland sejak Jun 2019. Beliau juga adalah timbalan pengerusi SDP yang memimpin parti itu semasa Rinne melanjutkan cuti sakitnya pada musim sejuk lepas.

Marin juga adalah seorang anggota parlimen.

Beliau mula dikenali dalam senario politik perbandaran di Tampere, bandar kedua terbesar di Finland dan adalah pengerusi Majlis Perbandaran Tampere dari 2013 hingga 2017.

Marin memiliki ijazah sarjana dalam Sains Pentadbiran dari Universiti Tampere.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )