Sarawak catat hari kedua berturut-turut tanpa kes baru COVID-19

Sarawak catat hari kedua berturut-turut tanpa kes baru COVID-19

KUCHING, 12 Mei — Tiada kes baharu COVID-19 dicatatkan di Sarawak sejak dua hari lepas, sementara Bahagian Limbang yang terletak paling utara negeri ini menjadi kawasan terbaharu diisytiharkan zon hijau, apabila tiada sebarang kes positif penyakit itu dicatatkan di kawasan itu dalam tempoh 14 hari lepas.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) dalam satu kenyataan hari ini turut melaporkan, terdapat enam kes sembuh dan discaj dari hospital, menjadikan secara keseluruhannya seramai 375 pesakit daripada 549 yang menerima rawatan, telah sembuh.

Dalam perkembangan lain, masa operasi bagi semua sektor ekonomi yang telah dibenarkan untuk beroperasi mulai hari ini adalah bermula dari jam 7 pagi hingga 10 malam.

“Untuk makluman sektor ekonomi yang telah dibuka, pemakluman adalah bertujuan menentukan supaya sektor-sektor yang telah beroperasi, dapat mengamalkan Garis Panduan dan SOP yang akan menyeimbangkan aktiviti ekonomi dan kesihatan.

“Manakala pasukan penguatkuasaan akan memantau dan membantu bagi melicinkan pelaksaan SOP yang telah ditetapkan,” katanya.

Bagi operasi sektor perhotelan pula, menurut kenyataan itu, Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Sarawak akan perkenalkan Prosedur Operasi Standard (SOP) dalam masa terdekat.

— BERNAMA

 

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)