
Sarawak pertimbang idea anjurkan semula Sukan Borneo: Abang Johari
KUCHING: Sarawak mempertimbangkan idea untuk menganjurkan semula Sukan Borneo yang merupakan temasya sukan melibatkan negara-negara di Borneo.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, Sukan Borneo yang pernah diadakan sebelum ini apabila dianjurkan nanti akan melibatkan Malaysia atau lebih khususnya Sarawak dan Sabah, Negara Brunei Darussalam dan Indonesia (Kalimantan).
“Saya memanjangkan idea Yang Berhormat Menteri Belia dan Sukan Malaysia (Hannah Yeoh), beliau mahukan Sukan Borneo dianjurkan.
“Iaitu acara sukan untuk negara-negara di Borneo, iaitu Malaysia terdiri daripada Sarawak dan Sabah, negara jiran kita Negara Brunei Darussalam dan Indonesia, Kalimantan.
“Insya-Allah saya akan membawa idea ini (untuk dibincangkan) dengan rakan-rakan kita. Diyakini ia adalah platform untuk melatih para atlet kita untuk beraksi di persada antarabangsa,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Sukan Malaysia (SUKMA) XXI Sarawak 2024 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini, malam tadi.
Abang Johari berkata, bagi Sarawak akan mengadakan perbincangan terperinci dengan rakan sejawatan di negara jiran (Brunei dan Indonesia) bagi penganjuran Sukan Borneo.
“Tak apalah kelak kita, Sarawak akan cuba menjadi sponsor (penaja) untuk Sukan Borneo pertama yang ‘dihidupkan semula’ ini nanti,” tambahnya.
Untuk rekod Sukan Borneo yang pertama dianjurkan oleh Brunei pada 1954.
Sabah, Sarawak serta Brunei kemudiannya bergilir-gilir menjadi tuan rumah temasya sukan itu dan kali terakhir ia dianjurkan di Brunei pada 2009.
Mengenai SUKMA XXI, Abang Johari berkata penganjuran temasya sukan itu penting kerana ia merupakan alat untuk menyatukan seluruh rakyat Malaysia yang berbilang kaum dan agama dan perlu dipanjangkan kepada negara-negara jiran.
“Apabila (Datuk) Lee Chong Wei bermain badminton, kita tidak menganggap beliau orang Cina, kita tidak menganggap Chong Wei orang Pulau Pinang, kita menganggap Chong Wei orang Malaysia yang berjuang untuk Malaysia.
“Begitu juga dengan (Datuk) Pandelela Rinong seorang Bidayuh. Kita tidak melihat beliau sebagai rakyat Sarawak, (tetapi) kita melihat beliau sebagai rakyat Malaysia yang menyumbang dan berjuang untuk Malaysia di pentas antarabangsa.
“Jadi, apa yang Sarawak hendak sumbang ialah menyatupadukan semua Malaysia dan memperluaskannya ke dengan negara jiran kita,” jelasnya.
Menerusi cara itu katanya, tidak akan ada perselisihan faham antara rakyat Malaysia dan negara-negara jirannya.
“Dan, sekali lagi dengan latar belakang ini, kami di Sarawak, kalau diberi peluang, sudah tentu dalam kemampuan kita, kita kata untuk kepentingan negara, Sarawak akan menyumbang untuk seluruh Malaysia,” ujarnya.
Justeru katanya, dengan adanya SUKMA XXI, beliau berpendapat ia dari tahun ke tahun bertambah canggih seiring dengan inisiatif ekonomi digital Sarawak.
“Kita menguji kemampuan digital, apabila dron digunakan, naik ke langit, semasa perasmian SUKMA. Itulah aplikasi teknologi dan kita telah membuktikan pada malam itu, pendigitalan satu lagi cara untuk menyatukan semua kita,” katanya.
Hadir sama, isteri Premier Sarawak Datuk Amar Juma’ani Tuanku Bujang, Yang Dipertua Dewan Negara Datuk Awang Bemee Awang Ali Basah, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Tan Sri Datuk Amar Mohd Asfia Awang Nassar, Menteri Belia dan Sukan Malaysia Hannah Yeoh, Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Dr Sim Kui Hian, Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah serta menteri-menteri kabinet dan kenamaan lain.
-Gerbangpost