Sarawak rancang bina 12 gelanggang silat – Abang Johari

Sarawak rancang bina 12 gelanggang silat – Abang Johari

KUCHING,. Sarawak sedang merancang untuk membina 12 gelanggang silat yang mewakili 12 wilayah di negeri ini bagi kegunaan Rumpun Silat Sarawak (RSS), sebuah persatuan silat yang diiktiraf kerajaan negeri.

Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata beliau mahu melihat warisan seni silat terus dimartabat dan menjadi sebahagian daripada budaya masyarakat Melayu.

“Kerajaan Sarawak sejak dahulu memberi sokongan kepada RSS dan kerajaan pimpinan saya akan terus menyokong apa jua usaha bukan sahaja dalam melahirkan insan yang mampu mempertahankan diri dan bangsa, tetapi juga pesilat yang mampu mengharumkan Sarawak.

“Kos setiap satu gelanggang silat itu dianggarkan RM800,000 dan kita akan binanya secara berperingkat bagi menggalakkan budaya silat dalam kalangan masyarakat,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian Perhimpunan Guru dan Pemimpin RSS di sini, malam ini.

Lebih 250 pesilat RSS dari seluruh Sarawak hadir pada perhimpunan berkenaan yang turut diisi dengan bengkel persilatan dan pembentangan kertas kerja.

Turut hadir Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Sarawak, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah dan Setiausaha Agung Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (Pesaka), Datuk Megat Zulkarnain Omardin.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )