Sarawak rekod dua kematian COVID-19 – Uggah

KUCHING, 18 Jan — Sarawak merekodkan dua kematian akibat COVID-19 hari ini dengan masing-masing satu kes di Miri dan Sibu, menjadikan jumlah keseluruhan kematian akibat jangkitan virus itu meningkat kepada 21 kes.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata kematian ke-20 adalah kes ke-2,065 yang melibatkan seorang lelaki tempatan berumur 42 tahun yang dimasukkan ke Hospital Miri pada 13 Jan lepas kerana tidak sedarkan diri dan disahkan meninggal dunia sehari kemudian.

“Saringan ujian calit kes ini yang diambil pada 14 Jan telah didapati positif COVID-19 pada 16 Jan 2021 dan kes juga mempunyai co-morbid (penyakit lain seperti kencing manis, darah tinggi dan mengalami jangkitan Hepatitis C),” katanya pada sidang media harian COVID-19 di sini.

Timbalan Ketua Menteri Sarawak itu berkata berkata kematian ke-21 pula merupakan kes ke-2,005 melibatkan seorang lelaki tempatan berumur 55 tahun yang telah disahkan positif COVID-19 pada 15 Jan dan dimasukkan ke Hospital Sibu pada hari sama.

“Kes ini, yang berasal dari daerah Kanowit, merupakan kontak kepada kes dalam Kluster Pasai yang telah disaring pada 12 Jan.

“Kes juga mempunyai penyakit darah tinggi, kencing manis dan jangkitan buah pinggang dan disahkan meninggal dunia pada jam 1.41 pagi hari ini,” katanya.

Uggah juga berkata daerah Beluru telah bertukar status daripada zon kuning kepada zon merah setelah sejumlah 42 kes dikesan melibatkan jangkitan tempatan di daerah itu dalam tempoh 14 hari lepas.

“Daerah Betong pula telah bertukar status dari Hijau kepada Kuning setelah sejumlah tujuh kes baharu dikesan melibatkan kes jangkitan tempatan dikesan di daerah berkenaan dalam tempoh 14 hari yang lepas,” katanya.

Hari ini, sebanyak 100 kes positif COVID-19 dikesan di Sarawak iaitu 37 kes di Sibu diikuti Beluru (27 kes), Betong (tujuh), Miri (tujuh), Kuching (enam), Bintulu (empat), Selangau (empat), Sri Aman (tiga), Lubok Antu (tiga), Sarikei (satu) dan Kanowit (satu).

Angka terkini itu menjadikan jumlah keseluruhan kes positif COVID-19 di Sarawak meningkat kepada 2,211.

— BERNAMA

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )