Sasaran 500,000 peluang pekerjaan tahun ini bakal dicapai

KUALA LUMPUR,. Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri (gambar) yakin sasaran kerajaan mewujudkan 500,000 peluang pekerjaan tahun ini dapat dicapai berikutan lebih 376,000 pencari kerja berjaya mendapat pekerjaan sejak Januari hingga 10 Sept.

Beliau berkata mereka berjaya mendapat pekerjaan melalui 27 inisiatif dilaksanakan kerajaan.

Katanya jumlah berkenaan, yang dimaklumkan pada mesyuarat kali ketiga Majlis Pekerjaan Negara (NEC) dipengerusikannya semalam, melebihi sasaran ditetapkan untuk sembilan bulan pertama tahun ini iaitu 354,276 peluang pekerjaan sehingga 30 Sept.

“Selain itu, kerajaan juga berjaya mewujudkan lebih 97,000 pekerjaan baharu melalui pelaburan dalam negara dengan 76 peratus daripadanya merupakan kategori mahir dan separuh mahir.

“Jumlah tersebut adalah sebahagian daripada sasaran 160,000 pekerjaan baharu yang terhasil daripada komitmen pelaburan tahun 2021,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata dalam usaha memperkasa tenaga kerja agar lebih berdaya tahan, berkemahiran tinggi dan tersohor di peringkat antarabangsa, kerajaan akan melaksanakan Pelan Strategik Penciptaan Pekerjaan Nasional (NJCSP) yang disokong lima pasukan petugas khas di bawah NEC.

Beliau berkata penciptaan pekerjaan turut akan dipertingkat melalui enam teras utama iaitu meningkatkan kerjasama antara industri dan akademik, memupuk bakat bagi memenuhi keperluan industri dan memperkasa usahawan tempatan untuk maju dalam ekonomi semasa.

Teras lain ialah memanfaatkan ‘ekonomi gig’ untuk pencarian peluang penjanaan pendapatan, memacu pertumbuhan sektor baharu dan moden dan mempercepat penerapan amalan tempat kerja moden.

“Enam teras tersebut akan menjadi panduan bagi pelaksanaan enam game changers (ejen perubahan) termasuk mengaplikasikan teknologi kepintaran buatan untuk tujuan pemadanan dan perancangan kerjaya di samping meningkatkan kebolehpasaran dan kualiti graduan lepasan TVET,” katanya.

Selain itu, perdana menteri berkata Kementerian Kewangan dan Kementerian Sumber Manusia telah diberi tanggungjawab membangunkan platform digital sehenti bagi memastikan program latihan dijalankan pelbagai kementerian dan agensi dapat dipantau secara berstruktur dan efektif.

“Mesyuarat juga bersetuju supaya kursus-kursus yang ditawarkan adalah berdasarkan keperluan ekonomi semasa, demografi dan keperluan ekonomi setempat,” katanya.

Beliau berkata kerajaan yakin strategi NEC termasuk pelaksanaan NJCSP dapat meneruskan momentum pemulihan ekonomi seterusnya meningkatkan penciptaan pekerjaan, sekali gus menangani isu kekurangan pekerja dalam sektor tertentu, kesaksamaan peluang untuk golongan rentan serta masalah berkaitan penggajian.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )