Satu lagi PKRC di Labuan dibuka hari ini

KUALA LUMPUR, 29 Okt — Satu lagi Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 untuk kes berisiko rendah (PKRC) mula beroperasi di Labuan hari ini, bagi menampung peningkatan jumlah kes COVID-19 di wilayah itu.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata disebabkan bilangan pesakit yang semakin bertambah, Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan (JKWP) Labuan telah menyediakan PKRC di Dewan Perbadanan Labuan dengan kapasiti 140 katil, sebagai tambahan kepada kepada 177 katil di PKRC sedia ada sebelum ini, menjadikan jumlah keupayaan katil PKRC di Labuan sebanyak 317 katil.

“Pembukaan PKRC di Dewan Perbadanan Labuan ini adalah hasil kerjasama semua pihak, termasuk Majlis Keselamatan Negara (MKN), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Perbadanan Labuan dan agensi lain di Labuan serta Taiwan Buddist Tzu-Chi Foundation Malaysia, Institut Latihan Perindustrian dan beberapa penyumbang lain, yang menjadikan pusat rawatan ini dapat dibuka dalam tempoh 24 jam.

“Tahniah dan terima kasih diucapkan kepada semua pihak atas pendekatan ‘The Whole of Government and Whole of Society Approach’,” katanya dalam kenyataan mengenai perkembangan COVID-19 di sini hari ini.

Beliau berkata tenaga kerja bagi pusat rawatan baharu itu akan menggunakan sepenuhnya tenaga kerja di JKWP Labuan dan pasukan bantuan yang telah dihantar di JKWP Labuan, di mana pasukan tersebut akan terus dipertingkatkan dari semasa ke semasa untuk memastikan program kawalan COVID-19 di Labuan berjalan lancar seperti yang dirancang.

“Ini sekali gus menjadikan kapasiti terkini katil untuk pesakit COVID-19 di WP Labuan meningkat kepada 337 katil, di mana jumlah katil di PKRC adalah 317 katil manakala katil untuk rawatan pesakit COVID-19 di Hospital Labuan adalah 20 katil,” katanya.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata pola peningkatan kes COVID-19 di Labuan dijangka meningkat, disebabkan saringan bersasar secara besar-besaran yang dijalankan JKWP Labuan terutama di kawasan-kawasan berpotensi wabak, dengan purata saringan adalah 1,500 ke 2,500 sehari.

Beliau berkata jumlah sampel ujian RT-PCR yang telah diambil sejak 27 Sept berjumlah 23,807 dan kadar pengesanan kes untuk keseluruhan di Wilayah Persekutuan itu adalah sekitar 1.5 peratus, manakala di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) pula, kadar pengesanan adalah sekitar 10 sehingga 15 peratus.

“Wilayah Persekutuan Labuan telah mencatatkan peningkatan kes COVID-19 mulai 27 Sept yang lalu, sedangkan sejak daripada permulaan wabak COVID-19 sehingga 26 Sept, Labuan hanya mencatatkan 26 kes secara kumulatif.

“Sejak 27 Sept sehingga hari ini, Labuan telah mencatatkan tambahan sejumlah 366 kes, yang menjadikan jumlah kumulatif kes keseluruhan berjumlah 392 kes,” katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )