Satu PPS di Bukit Mertajam ditutup

Satu PPS di Bukit Mertajam ditutup

BUKIT MERTAJAM,. Pusat pemindahan sementara (PPS) Masjid Tasek Junjong yang menempatkan 31 mangsa banjir daripada lima keluarga sehingga petang tadi, telah ditutup sepenuhnya menjelang malam ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar Pulau Pinang, Phee Boon Poh berkata semua mereka telah dibenarkan pulang ke rumah masing-masing selepas paras air menyurut.

“Manakala di PPS Dewan Rukun Tetangga Taman Suria Aman pula sudah tiada mangsa banjir kerana mereka balik ke rumah masing-masing namun PPS itu masih belum ditutup lagi dan dalam keadaan bersiap sedia jika kediaman di kawasan tersebut dilanda banjir kilat,” katanya di sini malam ini.

Katanya sehingga pukul 9 malam ini, 78 mangsa banjir daripada 19 keluarga masih ditempatkan di tiga PPS berbanding 124 orang daripada 32 keluarga di lima PPS petang tadi.

Menurutnya 46 orang daripada 10 keluarga masih berada di PPS Dewan Orang Ramai Taman Sukun dan di Dewan Orang Ramai Projek Perumahan Rakyat (PPR) Tok Suboh, masih ada 13 orang daripada tiga keluarga ditempatkan di situ.

Phee berkata sebuah lagi PPS iaitu Tadika Kemas Kampung Manggis pula masih menempatkan 19 orang daripada enam keluarga ditempatkan di situ.

“Selain pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) turut ditempatkan di PPS bagi membantu mangsa-mangsa banjir,” katanya.

Katanya pihak bomba turut membantu membuat rondaan bagi memberi bantuan segera kepada penduduk di kawasan rendah yang rumah mereka dilanda banjir kilat jika berlaku hujan lebat lebih dua jam.

Beliau berkata ketika ini cuaca di beberapa kawasan di daerah Seberang Perai Tengah hujan namun ia tidak selebat petang semalam.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )