Saya bukan pertikai, hanya bertanya’ – Tan Sri Annuar Musa

Saya bukan pertikai, hanya bertanya’ – Tan Sri Annuar Musa

AHLI Parlimen Ketereh, Tan Sri TPr Annuar Musa menjelaskan bahawa beliau tidak mempertikaikan keputusan partinya untuk memutuskan hubungan dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam Pilihanraya Umum ke 15 (PRU 15) akan datang sebaliknya hanya bertanyakan mengenai kandungan surat itu yang kurang jelas memandangkan keputusan Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO di Janda Baik sebelum ini tidak dimaklumkan kepada ahli parti itu.

Katanya, setiap ahli di 22,000 cawangan UMNO seluruh negara berhak mengetahui mengenai keputusan berkenaan yang dianggap kurang jelas.

“Saya bukan pertikai, saya cuma bertanya berita tak berapa jelas kerana kalau kata UMNO tak mahu bekerjasama dengan Bersatu, yang nak kena laksanakan nanti adalah 22,000 cawangan. Jadi tak boleh berahsia.

“Keputusan itu melibatkan ahli, jadi mereka kena tahu. Kalau peringkat saya tak tahu, ahli di bawah pun lagilah tak tahu,” katanya selepas turun padang bagi penyerahan surat tawaran dan kunci unit Projek Perumahan Rakyat (PPR) Pekan Salak Selatan, pada Khamis.

Annuar menerusi satu kenyataan pada Rabu meminta agar pimpinan UMNO untuk memberikan penjelasan kepada akar umbi berhubung keputusan untuk memutuskan hubungan dengan Bersatu dalam PRU 15 akan datang.

Mengulas lanjut, Annuar yang juga merupakan Menteri Wilayah Persekutuan berkata, pihaknya berpendapat perbincangan mengenai pilihan raya tidak sewajarya dibangkitkan buat masa ini berikutan tempoh penggal Parlimen akan terbubar adalah pada tahun 2023.

“Sepatutnya kita kerjasama bantu rakyat. Mahu tak mahu, mereka (Bersatu) berada dalam kerajaan dan kita juga dalam kerajaan.

“Tapi bila kita bentuk satu suasana seolah-olah nak bercerai, ia boleh menganggu hubungan baik, hubungan bekerja dan sebagainya,” katanya.

Ujarnya, setiap pimpinan bahagian dan negeri mempunyai hak masing-masing untuk membuat keputusan berhubung surat yang dikeluarkan MKT parti itu.

“Itu saya fikir negeri dan bahagian, mereka ada hak masing-masing (untuk buat keputusan).

“Saya di Ketereh, nak kerjasama dengan semua sebab saya wakil rakyat di situ. Ini masing-masing punya pendirian,” katanya.

-WILAYAHKU

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )