Schwarzer jangka Jerman menang Piala Dunia di Qatar

Schwarzer jangka Jerman menang Piala Dunia di Qatar

PETALING JAYA,. Bekas penjaga gol Australia Mark Schwarzer, percaya juara empat kali Jerman, akan membawa pulang Piala Dunia buat kali kelima pada edisi di Qatar, tahun ini.

Schwarzer berkata pasukan ‘Die Mannschaft’ itu telah berubah dengan cemerlangnya sejak pengurus Bayern Munich Hansi Flick, yang membimbing pasukan itu memenangi gelaran Juara Liga UEFA musim 2019/2020, mengambil alih pasukan itu daripada Joachim Low selepas Euro 2020, tahun lepas.

“Saya rasa pasukan Jerman di bawah kendalian Flick amat berbeza sekali, dari segi kesatuan pasukan kepada kelebihan taktikal oleh pengurus pasukan, amatlah menakjubkan.

“Flick telah buktikannya sebelum ini semasa bersama Bayern Munich dan kini beliau lakukannya pada pasukan Jerman, anda boleh lihat para pemain sukakan beliau dan mengunakan ideanya,” katanya pada sidang media kempen Piala Dunia 2022 di sini pada Khamis.

Malah bekas penjaga gol Middlesbrough dan Chelsea itu menyatakan, pemain tengah Jerman Jamal Musiala, 19, yang pada ketika ini bermain untuk Bayern Munich, merupakan pemain yang perlu diperhatikan di Qatar nanti.

“Walaupun Musiala masih muda, tetapi saya rasa beliau telahpun menjadi seorang pemain yang matang dan sangat bagus permainannya sejak dua tahun lepas,” katanya.

Ditanya mengenai peluang pasukan negaranya di Piala Dunia, bekas pemain berusia 49 tahun itu mengakui bahawa, Australia tidak mempunyai kualiti yang diperlukan untuk memberi cabaran terutamanya apabila diundi dalam kumpulan bersama juara bertahan Perancis, selain Denmark dan Tunisia dalam Kumpulan D.

Sementara itu bekas pemain tengah Belanda Philip Cocu menyatakan bahawa juara lima kali Brazil, akan berhadapan tekanan untuk beraksi dengan baik dan memenangi piala itu buat kali keenam, selepas buat kali terakhir memenanginya dua dekad lepas pada edisi Korea Selatan dan Jepun.

“Tekanan tentunya pada Brazil, kerana seluruh rakyatnya mahukan mereka menang Piala Dunia lagi sekali,” katanya.
Astro, penyiar rasmi Piala Dunia FIFA Qatar 2022, akan menyiarkan kesemua 64 perlawanan secara langsung sepanjang kejohanan itu yang bermula dari 21 Nov hingga 18 Dis.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)