SEAGF putus jumlah sukan minggu ini – MOM

KUALA LUMPUR,. Keputusan muktamad berhubung jumlah sukan yang bakal dipertandingkan pada temasya Sukan SEA ke-31 di Vietnam tahun hadapan, bakal diketahui minggu ini.

Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berkata Persekutuan Sukan SEA (SEAGF) akan bermesyuarat secara maya pada Khamis dan Jumaat ini bagi menentukan beberapa perkara termasuk jumlah sukan dan acara yang bakal dipertandingkan pada temasya sukan dwitahunan berkenaan.

Beliau memaklumkan tiga jawatankuasa kecil SEAGF iaitu Jawatankuasa Sukan dan Peraturan, Jawatankuasa Perubatan serta Jawatankuasa Sukan dan Wanita akan bersidang pada Khamis ini, disusuli mesyuarat Ahli Majlis SEAGF pada hari berikutnya.

“Pada mesyuarat tersebut, Jawatankuasa Sukan dan Peraturan akan membincangkan pertambahan sukan-sukan tersebut dan kita ada peluang untuk mempertahankan sukan-sukan yang kita rasa layak untuk diketengahkan sebab kita juga berpandukan kepada ahli-ahli dalam mesyuarat tersebut,” katanya kepada Bernama, hari ini.

Mohamad Norza, bagaimanapun, menegaskan SEAGF dijangka hanya bersetuju dengan penambahan kecil jumlah sukan memandangkan beberapa negara ASEAN lain turut menghantar rayuan untuk menambah jumlah sukan mengikut kekuatan negara masing-masing.

MOM sebelum ini menghantar rayuan kepada SEAGF untuk menyenaraikan tambahan 11 jenis sukan iaitu hoki dalam dewan, bola jaring, pelayaran, tenpin boling, skuasy, boling padang, kriket, ragbi tujuh sebelah, papan selaju, floorball dan sambo (sukan bela diri tanpa senjata dari Rusia).

Julai lepas, SEAGF bersetuju menyenaraikan 36 jenis sukan melibatkan 450 acara pada Sukan SEA Vietnam yang dijadualkan berlangsung dari 21 Nov hingga 2 Dis, 2021, berbanding 530 acara daripada 56 jenis sukan dipertandingkan pada Sukan SEA 2019 di Filipina.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )