Sedia panggil semula pesara doktor sekiranya kes COVID-19 meningkat mendadak

Sedia panggil semula pesara doktor sekiranya kes COVID-19 meningkat mendadak

KUALA LUMPUR,. Kerajaan bersedia memanggil semula doktor perubatan yang sudah bersara atau pegawai perubatan yang berkhidmat dalam angkatan tentera, sekiranya berlaku peningkatan mendadak kes COVID-19 di negara ini.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba berkata langkah itu hanya akan dilakukan apabila perlu, bagi mengimbangi keperluan doktor perubatan sedia ada, dalam usaha meningkatkan sistem penjagaan kesihatan negara.

“Sekiranya berlaku pertambahan kes (COVID-19) seperti di negara luar yang (naik) mendadak, kita tidak ada alasan untuk (tidak) panggil balik doktor yang sudah pencen dan doktor angkatan tentera untuk bantu kita,” katanya ketika menjadi tetamu program Bicara Naratif bertajuk COVID-19: Ambil Tahu & Bertindak Segera yang disiarkan secara langsung di TV1.

Bagaimanapun, Dr Adham berkata negara kini masih mempunyai keupayaan doktor perubatan yang mencukupi bagi mengawal kes berkaitan COVID-19 dan masalah kesihatan yang lain.

Ia termasuk usaha kementerian menempatkan 1,000 doktor pelatih di 44 hospital kerajaan seluruh negara bagi membantu melicinkan operasi harian susulan penularan COVID-19, sekali gus meredakan bebanan doktor sedia ada.

Malah kementerian juga telah menambah 830 jururawat lantikan secara kontrak bagi menambah kapasiti petugas di 135 hospital kerajaan di seluruh negara memandangkan bilangan kes positif COVID-19 semakin ketara sejak minggu lepas.

Dalam pada itu, Dr Adham berharap Malaysia dapat menjadi salah sebuah negara yang mampu membangunkan vaksin termasuk COVID-19 bagi melindungi rakyat negara ini daripada wabak yang membawa maut.

“Kita akan menyertai WHO (Pertubuhan Kesihatan Sedunia) supaya ada pakar kita akan sama-sama berinteraksi supaya kita boleh jadi salah satu negara yang membangunkan vaksin ini. Usaha ini bagi masa depan untuk kita lindungi rakyat kita,” katanya.

Dalam program siaran langsung itu, Dr Adham turut berkongsi demonstrasi cara mencuci tangan dengan betul menggunakan cecair pembasmi kuman, selain menasihati orang ramai untuk mengikuti arahan kerajaan sepanjang penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan yang bermula semalam sehingga 31 Mac.

Terdahulu, dalam program Eksklusif Menteri Kesihatan menerusi siaran langsung Berita Perdana TV1 malam ini, Dr Adham berkata tanda-tanda bahawa jumlah kes COVID-19 di Malaysia akan stabil sudah ada dan berharap angkanya tidak akan meningkat lagi.

Bilangan kes baharu positif COVID-19 di negara ini mula menunjukkan trend mendatar dengan jumlah 125 kes direkodkan pada Isnin diikuti 120 kes (Selasa), 117 kes (Rabu) dan 110 kes hari ini.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)