Segera tangani krisis makanan di zon konflik

Segera tangani krisis makanan di zon konflik


Oleh: Prof. Madya Dr. Mohd. Anuar Ramli

Makanan merupakan keperluan asas kepada manusia dalam pelbagai peringkat usia, sama ada kanak-kanak, remaja, dewasa mahu pun tua. Ia termasuk dalam keperluan daruriyat bagi memelihara nyawa, tubuh badan dan akal manusia. Ketiadaan makanan boleh menyebabkan kebuluran dan kematian, manakala kekurangan makanan akan menyebabkan perkembangan otak terganggu kerana tidak mendapat nutrien yang mencukupi di samping dapat menyebabkan tumbesaran kanak-kanak menjadi bantut.

Asasnya, keterjaminan makanan merupakan situasi yang mana setiap orang dalam keluarga mempunyai bekalan makanan yang mencukupi, berkhasiat, selamat dan boleh dicapai makanan tersebut. Ia melibatkan empat dimensi utama, iaitu pertama, ketersediaan makanan, iaitu makanan tersebut wujud dan tersedia serta mencukupi pada setiap masa; kedua, akses makanan, iaitu makanan itu boleh dicapai dan dikonsumsi bila diperlukan; ketiga, penggunaan makanan, iaitu makanan itu berkhasiat, bernutrisi, berkualiti dan tidak memudaratkan; keempat, kestabilan dan kemampanan makanan, iaitu makanan yang terjamin ada, mampan dan dapat memenuhi keperluan.

Menurut laporan Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO) dalam pelaporan Monitoring food security in food crisis countries with conflict situations, sehingga tahun 2021, satu pertiga daripada penduduk Palestin atau 1.8 juta rakyatnya, mengalami masalah kekurangan makanan berdasarkan kepada penilaian sosioekonomi dan keterjaminan makanan. Di Semenanjung Gaza, sejumlah 1.01 juta penduduk diancam tahap serius keterjaminan makanan, 0.43 juta penduduk diancam tahap sederhana serius dan 0.19 juta penduduk kurang serius keterjaminan makanannya.

Dalam kajian terhadap status nutrisi rakyat Palestin dari tahun 2011 sehingga 2023 mendapati bahawa berlaku dua gejala dalam kalangan kanak-kanak Palestin. Di satu sisi, berlaku gejala malnutrisi yang mendorong kepada penurunan berat badan kanak-kanak. Ia disebabkan senario ketidakcukupan bekalan makanan untuk sekurang-kurangnya selama tempoh dua hari. Dalam sisi kedua, berlakunya gejala obesiti bagi kanak-kanak yang berpunca daripada pengambilan makanan tidak sihat dan tidak berkhasiat seperti minuman berkarbonat dan kekurangan pengambilan produk berasaskan tenusu.

Ibaratnya, sudah jatuh ditimpa tangga. Situasi keterjaminan makanan semakin serius pasca berlakunya serangan pihak Israel. Jika sebelumnya, penduduk Palestin telahpun mengalami krisis makanan. Situasi ini berlaku akibat pihak Israel telah menyekat sumber air ke kawasan pertanian, merampas tanah pertanian dan merosakkan hasil tanaman penduduk Palestin. Keadaan menjadi bertambah parah apabila berlaku serangan dari pihak Israel. Petani Palestin tidak dapat beraktiviti di luar rumah, malah ada yang menjadi mangsa serangan walaupun berada di dalam rumah. Penduduk Palestin terpenjara dan sukar akses kepada sumber makanan yang mencukupi.

Penduduk Gaza khususnya telah berhadapan dengan sekatan terhadap akses makanan, bekalan air bersih, dan pemusnahan infrastuktur, pemotongan bekalan eletrik dan jaringan internet. Situasi ini telah menyebabkan mereka terpaksa bergantung kepada tenaga solar. Untuk mendapatkan bekalan makanan, mereka terpaksa beratur jauh, membuat catuan makanan hanya sehari sekali dan terpaksa meminum air dari sumber tidak bersih. Ini ditambah lagi keadaan rumah yang musnah sama sekali, perkakasan dapur yang rosak, dan diikuti dengan perasaan takut serta tidak selamat berada dalam zon konflik. Nyawa mereka boleh melayang pada bila-bila masa sahaja.

Kebiasannya, makanan ruji bagi penduduk Palestin adalah roti. Namun stok bekalannya adalah semakin terhad. Para pembeli terpaksa beratur panjang untuk mendapatkannya di kedai. Di samping itu, jumlah kedai yang menjualnya juga berkurangan akibat musnah dalam serangan tentera Israel. Dalam masa yang sama, mereka juga mengalami kenaikan harga barangan akibat kekurangan stok, ditambah lagi dengan mereka yang kehilangan mata pencarian dan tiada sumber kewangan yang kukuh menyebabkan mereka tidak mampu untuk membeli makanan. Akibat sekatan Israel juga, mereka kehabisan minyak diesel, dan kenderaan tidak dapat bergerak untuk menyalurkan air bersih ke kedai-kedai. Situasi ini menambah penderitaan rakyat Palestin.

Selain itu, sekatan makanan juga merupakan senjata ampuh untuk menekan penduduk Palestin agar tunduk dengan tekanan Israel sekaligus mengosongkan kediaman mereka dan berhijrah ke kawasan lain. Pihak Israel telah menggunapakai taktik kotor bagi melemahkan psikologi pihak lawan dengan menyekat akses terhadap keperluan asas. Strategi seperti ini dilakukan dengan tindakan seperti menuang simen ke dalam mata air di kawasan al-Hijrah, selatan Hebron untuk menghalang rakyat Palestin daripada menggunakannya dalam aktiviti pertanian. Dengan itu, mereka tidak lagi dapat meneruskan aktiviti bercucuk tanam. Israel turut memusnahkan jaringan laluan yang menyukarkan proses menghantar bantuan makanan.

Walaupun terdapat pelbagai bantuan disalurkan dari seluruh dunia, tetapi sekatan yang dilaksanakan Israel menjadikan masalah semakin meruncing. Bantuan banyak yang tersadai di pintu sempadan. Senario ini menyebabkan bantuan sukar disampaikan kepada penduduk Palestin. Walaupun bantuan sampai, isu kekurangan bekalan makanan ditambah pula dengan isu ketidaksamarataan pengagihan barangan bantuan di zon konflik. Akibatnya, mereka terpaksa mencatu pengambilan makanan bagi meneruskan kelangsungan kehidupan seharian di samping mengelak dari terputusnya bekalan makanan. Situasi ini sangat membimbangkan kerana dapat memberi kesan terhadap tumbesaran fizikal dan mental isi rumah terutamanya kanak-kanak. Hambatan berganda yang menyukarkan akses terhadap makanan juga menyebabkan rakyat Palestin terpaksa menukar diet dengan mengambil makanan tidak berkhasiat kerana lebih murah.

Jelasnya, suasana konflik dan peperangan berupaya menganggu kestabilan keterjaminan makanan rakyat Palestin. Mereka berada dalam dua keadaan yang kritikal, iaitu pertama kekurangan sumber makanan yang boleh mendorong mangsa untuk mati kebuluran. Kedua ketakutan terhadap peluru dan bom yang boleh menyebabkan kematian mereka. Sikap ganas dan tanpa belas ihsan tentera Israel terhadap penduduk-penduduk awam Palestin adalah melampau dan bertentangan dengan Undang-undang Kemanusiaan Antarabangsa.

Sehubungan itu, masyarakat dunia perlu bertindak pantas dalam menyalurkan bantuan makanan, perubatan dan keperluan lain kepada penduduk Palestin agar mereka tidak mengalami krisis makanan yang kronik. Israel juga perlu didesak agar patuh kepada genjatan senjata yang diusulkan di Pertubuhan Bangsa Bersatu agar bantuan makanan dan perubatan dapat disalurkan kepada semua pihak yang terkesan. Tindakan pantas ini dapat menyelamatkan banyak nyawa dari terkorban.

……
Penulis merupakan Profesor Madya di Jabatan Fiqh dan Usul, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya. Penulis boleh dihubungi di emel: [email protected]

Rencana ini adalah sebahagian dapatan geran FRGS/1/2023/SSI13/UM/02/2 yang bertajuk Model Mitigasi Sekuriti Makanan Halal Berdasarkan Prinsip Kesetaraan Gender Untuk Kelestarian Keluarga Madani Di Malaysia.

-DG

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )