Segerakan pendigitalan pendidikan negara – Muhyiddin Yassin

Segerakan pendigitalan pendidikan negara – Muhyiddin Yassin

MUAR,. Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mahu Kementerian Pendidikan menyegerakan program pendigitalan pendidikan negara supaya lebih ramai pelajar di negara ini mendapat akses pendidikan berkualiti dan bermutu tinggi.

Muhyiddin berkata, soal pendidikan merupakan perkara penting kerana sese-buah negara bergantung pada kejayaan anak-anak menguasai semua ilmu demi masa depan negara, sekali gus melahirkan tenaga manusia yang mempunyai kebolehan untuk menguasai semua bidang terutama sains dan teknologi.

“Baru-baru ini kita berhadapan dengan pandemik COVID-19 yang masih melanda. Antara yang terkesan ialah sistem pendidikan kita. Sebahagian besar pelajar tidak dapat pergi ke sekolah dan diarah tinggal di rumah untuk mengelakkan penularan COVID-19.

“Tempoh masa mereka di rumah agak lama, satu pengajaran yang kita dapati daripada pandemik ini ialah kita tidak mempunyai satu keupayaan untuk memulakan satu sistem pendidikan yang boleh menampung keperluan pendidikan di waktu-waktu sebegini.

“Kalaupun kita ada kemudahan-kemudahan sebegini yang membolehkan pelajar kita belajar secara maya dan sebagainya, bilangan ibu bapa yang dapat sediakan laptop, komputer, tablet itu agak terhad dan terbatas, mungkin dalam kalangan golongan ibu bapa yang mampu sahaja,” katanya.

Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gambir berkata demikian ketika berucap pada program Jom ke Sekolah Parlimen Pagoh dan DUN Gambir Bersama Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Pendidikan Yayasan Pelajaran Mara (YPM) di Kompleks Sukan Pagoh, di sini semalam.

Turut hadir, isteri beliau Puan Sri Norainee Abdul Rahman, Pengerusi Penasihat Jawatankuasa Mara Corporation merangkap ADUN Bukit Kepong Datuk Dr Sahruddin Jamal serta Pengerusi Eksekutif YPM Datuk Dr Mohd Nizar Sudin.

Menurut Muhyiddin, langkah ke arah pendigitalan pendidikan tersebut sudah dimulakan menerusi arahan beliau kepada Menteri Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin agar ditubuhkan jawatankuasa khas untuk meneliti bagi mempercepatkan peralihan sistem pendidikan semasa kepada pendigitalan.

Perdana menteri berkata, perubahan ke arah pendi-gitalan itu bukan sahaja melibatkan peranti tetapi juga sumber manusia merangkumi tenaga pengajar dan guru sementara kandungan bahan pengajaran yang hendak digunakan para pelajar pula perlu berkualiti.

Beliau berkata, proses ke arah pendigitalan pendidikan bagaimanapun tidak mampu dicapai sepenuhnya jika negara tidak mempunyai kebolehcapaian dan kesa-linghubungan Internet yang cekap.

“Sebab itu baru-baru ini saya umum inisiatif MyDI-GITAL untuk menyediakan kita dengan kemudahan ja-ringan Internet 5G tidak lama lagi,” katanya yang turut gembira dengan kesediaan kerajaan Emiriah Arab Bersatu (UAE) membantu sektor pendidikan negara ke arah digital, hasil lawatan beliau ke UAE baru-baru ini.

Muhyiddin menegaskan sistem pendidikan negara ini mesti didigitalkan agar setara atau lebih baik berban-ding sesetengah negara yang sudah maju dari Malaysia, justeru katanya ekosistem sesuai perlu difikirkan bagi mengupayakan pelajar dan guru dengan alat pembelajaran yang boleh diakses di mana-mana sahaja.

Pada program semalam, YPM menyumbang peruntukan berjumlah RM240,000 untuk melaksanakan beberapa inisiatif termasuk Program Bantuan Persekolahan Khas kepada 1,000 pelajar golongan B40; Bantuan Awal Persekolahan kepada 200 penerima; Pelaksanaan Skim Anak Angkat kepada 100 pelajar serta Program Celik al-Quran.

— Bernama

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)