Segerakan skuad Piala Thomas kembali berlatih

Segerakan skuad Piala Thomas kembali berlatih

KUALA LUMPUR,. Ketua jurulatih perseorangan lelaki negara, Hendrawan berharap kumpulan kedua pemain badminton negara dapat kembali menjalani latihan secepat mungkin bagi melakukan persiapan menghadapi Piala Thomas 2020.

Ketika ini, hanya pemain di bawah program Road to Tokyo (RTT) yang diberi kelonggaran kembali berlatih dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bermula, kelmarin.

Hendrawan, berkata berbanding Sukan Olimpik Tokyo yang berlangsung tahun depan, saingan Piala Thomas yang diadakan di Aarhus, Denmark pada 3 hingga 11 Oktober ini juga perlu diberi keutamaan untuk skuad negara melakukan persiapan.

“Hanya beberapa bulan lagi Piala Thomas akan berlangsung dan sebagai jurulatih sudah pasti saya mengharapkan kumpulan kedua pemain akan dapat menyertai latihan semula selepas ini.

“Dengan pemain semua sudah berehat hampir tiga bulan, sudah pasti mereka memerlukan masa yang lama untuk kembali berada pada tahap sebenar. Jadi, saya berharap kita dapat membentuk skuad Piala Thomas lebih awal.

“Saya percaya jika kita melakukan persiapan awal, kita boleh buat yang terbaik. Majoriti pemain yang kita ada masih muda dan mereka perlukan lebih masa untuk persiapan berbanding pemain senior,” kata Henrawan yang turut melaporkan diri kelmarin.

Hanya dua pemain perseorangan lelaki negara yang menyertai kem latihan pusat bermula kelmarin iaitu Lee Zii Jia yang berada di bawah program RTT dan Cheam June Wei sebagai rakan sepelatih.

Persatuan Badminton Malaysia (BAM) sebelum ini menjangkakan persiapan skuad Piala Thomas negara akan bermula 15 Jun ini tertakluk kelulusan daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) manakala pemain profesional yang terpilih akan dipanggil menyertai latihan bermula pertengahan Julai depan.

Dalam pada itu, diminta mengulas mengenai penstrukturan semula jurulatih yang dilakukan BAM, bulan lalu yang menyaksikan Datuk Tey Seu Bock akan membantunya melatih pemain perseorangan lelaki, Hendrawan menyambut baik keputusan berkenaan.

“Saya tiada masalah dengan perkara ini kerana pernah bekerjasama dengan Seu Bock sebelum ini termasuk ketika membantu Datuk Lee Chong Wei menghadapi Sukan Olimpik (Rio 2016). Yang pasti, kami akan berusaha melakukan yang terbaik,” katanya.

–BH

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )