Sekatan AS sebabkan sektor minyak Sudan ketinggalan, kerugian berbilion Dolar US
MOSCOW, 23 Okt — Penyenaraian Sudan sebagai penaja keganasan dan dikenakan sekatan oleh Amerika Syarikat (AS) menyebabkan sektor minyak Khartoum kerugian sekurang-kurangnya US$23 bilion dan ketinggalan selama bertahun-tahun, kata Menteri Tenaga Khairi Abdul Rahman.
Awal bulan ini, Presiden Donald Trump mengumumkan Sudan akan dikeluarkan daripada senarai tersebut setelah negara itu bersetuju membayar $335 juta kepada mangsa dan keluarga serangan pengganas.
“Tidak diragukan sekatan AS memberi kesan yang sangat ketara terhadap ekonomi Sudan … menyebabkan kehilangan banyak peluang dan menanggung perbelanjaan yang tinggi. Kerugian sektor minyak berjumlah sekitar US$23.8 bilion,” kata Khairi dalam satu temu bual dengan Sputnik.
Jelas menteri itu diletakkan dalam senarai itu telah menarik keluar pengeluaran modal dan kepakaran dari negara ini. Ia menyebabkan sektor minyak sangat ketinggalan daripada segi teknologi moden, akses ke wilayah jiran dan institusi kewangan tambahan.
Khairi menekankan pembatalan sekatan dan pemulihan sektor minyak akan menghidupkan kembali banyak sektor ekonomi domestik yang mengalami kemerosotan akibat infrastruktur sumber tenaga yang lemah.
“Menarik kembali sekatan terhadap Sudan akan membolehkan sektor minyak terus berkembang dan menyumbang untuk menyediakan keperluan negara bagi produk petroleum buat semua sektor, yang seterusnya membolehkan pengaktifan dan peningkatan perkhidmatan sosial seperti perkhidmatan kesihatan dan pendidikan, air minum dan lain-lain keperluan yang sangat diperlukan oleh individu,” kata Khairi, sambil menambah ia secara beransur-ansur akan meningkatkan kesejahteraan rakyat.
Sudan tersenarai pada 1993 kerana melindungi Osama bin Laden selama hampir lima tahun pada ketika pemimpin Al-Qaeda (kumpulan pengganas, dilarang di Rusia) terlibat dalam serangan terhadap sasaran di Amerika Syarikat. Empat tahun kemudian, Washington mengenakan sekatan terhadap Khartoum yang menghalang kemampuan bank Sudan untuk bekerjasama dengan rakan kongsi asing.
— BERNAMA