Sekatan keluar masuk di Phuket mulai tengah malam ini hingga 30 April

Sekatan keluar masuk di Phuket mulai tengah malam ini hingga 30 April

BANGKOK,. Pulau peranginan Phuket dikenakan sekatan keluar masuk mulai tengah malam ini hingga 30 April ini dalam usaha kerajaan Thailand membendung penularan wabak COVID-19 di destinasi pelancongan popular itu.

Ini susulan sembilan kes positif COVID-19 dikesan hari ini, menjadikan jumlah 62 kes di pulau tersebut.

Gabenor Phuket, Phakaphong Tavipatana, berkata semua pintu masuk — darat dan laut – ke pulau itu ditutup berkuat kuasa tengah malam ini.

Bagaimanapun, katanya, larangan tersebut tidak membabitkan pengangkutan udara, kenderaan membawa barangan komoditi, barangan penting, bekalan perubatan dan peralatan, bahan binaan dan kenderaan kerajaan dan perkhidmatan kecemasan.

Beliau berkata semua anggota diplomatik, badan antarabangsa serta wakil kerajaan yang menjalankan tugas di pulau itu dikecualikan daripada larangan itu dengan mengemukakan sijil kesihatan tidak lebih daripada 72 jam sebelum melakukan perjalanan.

“Mereka perlu mematuhi langkah pencegahan jangkitan yang dikenakan oleh kerajaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, pulau peranginan itu menutup semua pantai, zoo dan tempat pejalan kaki di kawasan awam dan sehari sebelum itu Phakaphong menggesa orang ramai duduk di rumah dari jam 8 malam hingga 3 pagi sebagai usaha memerangi penularan jangkitan itu.

Menurutnya, semua van dan bas awam dilarang memasuki atau keluar dari Phuket, Pattani, Yala dan Narathiwat bermula hari ini sementara perkhidmatan kereta api digantung mulai 1 April.

Selain Phuket, tiga wilayah selatan Thailand – Narathiwat, Yala dan Pattani diletakkan di bawah perintah sekatan keluar masuk susulan peningkatan kes COVID-19 dengan dua kematian dilaporkan di Yala setakat ini.

Sehingga jam 1 tengah hari ini, Thailand melaporkan 136 kes baharu positif COVID-19 dan satu kematian, menjadikan jumlah keseluruhan 1,524 kes dan sembilan kematian.

Kes kematian terbaru membabitkan seorang wanita tempatan berusia 56 tahun yang meninggal dunia di sebuah hospital swasta di sini, semalam.

Sementara itu, Pesuruhjaya Biro Polis Metropolitan, Leftenan Jeneral Pakkapong Pongpetra, berkata sekurang-kurangnya 27 pegawai polis dijangkiti penyakit itu manakala 326 lain dikenakan perintah kuarantin sementara menunggu keputusan ujian makmal.

“Pegawai yang dijangkiti terdiri daripada dua kumpulan iaitu mereka yang pulang dari lawatan kerja di Sepanyol dan mereka yang mengunjungi Stadium Tinju Lumpinee dan tempat hiburan Thong Lor,” katanya.

Jumlah keseluruhan 1,524 kes dilaporkan itu merangkumi 715 kes di Bangkok, 82 di selatan Thailand dan 727 kes di wilayah-wilayah negara itu dengan 1,297 pesakit adalah warga Thailand dan 227 orang asing.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )