Sektor awam, swasta perlu buka peluang pekerjaan kepada pesara tentera – PVATTBM

Sektor awam, swasta perlu buka peluang pekerjaan kepada pesara tentera – PVATTBM

KANGAR,. Sektor awam dan swasta perlu membuka peluang pekerjaan serta mengambil anggota tentera yang telah bersara daripada perkhidmatan untuk bekerja, dalam usaha merealisasi kandungan Kertas Putih Pertahanan (KPP) untuk mewujudkan karier kedua kepada golongan itu.

Menyokong penuh langkah kerajaan itu, Persatuan Veteran Angkatan Tentera Tidak Berpencen Malaysia (PVATTBM) berkata peluang pekerjaan kepada pesara tentera juga adalah wajar terutama dalam membantu mereka menyara keluarga.

“Pihak PVATTBM berharap sektor awam dan swasta memberi reaksi positif atas kandungan dalam KPP tersebut dengan mengambil bekerja para anggota tentera daripada kalangan lain-lain pangkat yang menamatkan perkhidmatan sekitar usia 45 tahun,” kata Presiden PVATTBM Ismail Abidin kepada Bernama baru-baru ini.

Beliau mengulas kenyataan Timbalan Menteri Pertahanan Liew Chin Tong kepada pemberita di lobi parlimen Isnin lepas, selepas KPP dibentangkan oleh Menteri Pertahanan Mohamad Sabu.

Dalam perkembangan lain, Ismail berkata PVATTBM juga menyokong arahan Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin supaya polis segera menyiasat perhimpunan 300 individu dikatakan bekas ahli Parti Komunis Malaya (PKM) di sebuah kolej swasta di Kajang, Selangor baru-baru ini.

“Pihak PVATTBM merasakan program yang dianjurkan itu keterlaluan, lebih-lebih lagi di dalamnya dipaparkan gambar ada individu berpakaian seragam anggota PKM yang terkenal dengan keganasan zaman darurat dahulu,” katanya.

Ismail berharap polis segera menyiasat dan mengambil tindakan tegas ke atas mereka yang terlibat terutama penganjur program tersebut kerana ia benar-benar mengguris hati para anggota tentera dan keluarga mereka.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )