Sektor ekonomi beroperasi sejak fasa 1 tidak perlu permohonan baharu

Sektor ekonomi beroperasi sejak fasa 1 tidak perlu permohonan baharu

PUTRAJAYA, 16 April — Kesemua sektor ekonomi yang mendapat kelulusan beroperasi sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa 1 dan fasa 2 tidak perlu membuat permohonan baharu apabila PKP memasuki fasa 3.

Menteri Kanan (Kluster Ekonomi) Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata perkara tersebut telah diwartakan kerajaan pada 18 Mac 2020, 21 Mac 2020 dan 2 April 2020.

“Ini bermakna semua industri dan syarikat yang telah mendapat kelulusan untuk beroperasi ketika PKP fasa 1 dan PKP fasa 2 boleh meneruskan operasi mereka ketika PKP fasa 3 kerana semua telah diwartakan kerajaan pada tarikh-tarikh yang saya nyatakan tadi,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Bagi sektor ekonomi tambahan yang dibenarkan beroperasi secara berperingkat pula, Mohamed Azmin yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) berkata perkara tersebut baru diwartakan semalam dan pihaknya kini dalam proses menerima permohonan daripada sektor itu.

Beliau berkata pandangan Kementerian Kesihatan (KKM) turut diambil kira dalam membenarkan sektor ekonomi tambahan beroperasi.

“Proses ini mestilah melalui KKM yang merupakan kementerian yang amat penting untuk memberikan panduan dan nasihat kepada MITI dan kementerian lain yang terlibat dalam sektor tambahan, dalam usaha kita membendung penularan COVID-19,” katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )