Sektor kewangan perlu berperanan sebagai pemangkin ekonomi berkarbon rendah – BNM

Sektor kewangan perlu berperanan sebagai pemangkin ekonomi berkarbon rendah – BNM

KUALA LUMPUR,. Sektor kewangan perlu berperanan sebagai pemangkin dalam usaha peralihan ke arah ekonomi berkarbon rendah berikutan kedudukan unik sektor itu dari segi kaitannya dengan perniagaan, isi rumah, kerajaan dan sumber lebih besar berbanding lain.

Menjadi anggota Rangkaian Bank Pusat dan Penyelia untuk Menghijaukan Sistem Kewangan (NGFS) membolehkan Bank Negara Malaysia (BNM) untuk meneruskan objektif ini dengan pantas, tangkas dan yakin, kata Timbalan Gabenor BNM, Jessica Chew.

“Pada dasarnya, ini merupakan cabaran global dan kami yakin perlu menjadi sebahagian daripada penyelesaian global dengan bekerjasama dengan institusi yang berpandangan serupa dan berkongsi cabaran dan keutamaan yang sama,” katanya dalam artikel yang disiarkan di laman web NGFS.

BNM menjadi anggota NGFS sejak Oktober 2018 dan merupakan satu daripada dua anggota awal dari ASEAN yang menyertai kumpulan berkenaan.

Chew berkata strategi iklim BNM merangkumi lima teras utama iaitu libat urus dan pembangunan kapasiti, menyepadukan risiko iklim dalam makroekonomi dan penilaian kestabilan kewangan, memperkukuh jangkaan pengawalseliaan dan penyeliaan untuk menguruskan risiko iklim, mewujudkan persekitaran dan pelaburan yang membolehkan pembiayaan hijau serta kepimpinan melalui teladan.

Strategi iklim itu disokong oleh tujuh aliran kerja dalaman yang diselaraskan oleh unit strategi iklim dalaman yang melaporkan kepada pengurusan kanan bank.

Sebagai mengiktiraf kepentingan maklum balas kolektif, beliau berkata Jawatankuasa Bersama Mengenai Perubahan Iklim (JC3) turut ditubuhkan sebagai platform untuk memacu dan menyokong perubahan iklim dalam sektor kewangan.

Beliau berkata JC3 dipengerusikan oleh BNM dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia dengan anggota dan pemantaunya yang terdiri daripada bursa saham, institusi kewangan, pelabur institusi dan pertubuhan bukan kerajaan.

“Perjalanan iklim kami sejak 12 bulan lepas menyaksikan beberapa kejayaan penting termasuk mengeluarkan kertas perbincangan mengenai Perubahan Iklim dan Taksonomi berasaskan prinsip, terbitan Rangka Kerja Penilaian Impak Pembiayaan dan Pelaburan Pengantara Berasaskan Nilai dan penyiapan laporan mengenai peranan bank pusat ASEAN dalam menguruskan risiko iklim dan alam sekitar.

“BNM telah menerima banyak manfaat menerusi kerjasamanya dengan NGFS sejak hari pertama keanggotaannya,” kata beliau.

Chew berkata pengurusan risiko iklim dalam sektor kewangan terus kekal, dalam pelbagai aspek, bidang amalan baharu di Malaysia.

Beliau berkata menerusi penglibatan dengan NGFS, bank itu berupaya membangunkan keupayaan dalaman dan pengetahuannya secara lebih cepat dengan menyertai kerja-kerja teknikal yang mendalam dan memanfaatkan pengetahuan dan pengalaman luas komuniti NGFS.

“Sebagai sebahagian daripada komuniti itu, kami berusaha membawa perspektif ekonomi yang sedang membangun untuk pertimbangan dan penerbitan NGFS,” katanya.

Menurut Chew, menerusi penglibatan dalam pelbagai kajian, kerja teknikal dan acara-acara yang dianjurkan NGFS, bank itu berharap dapat mengetengahkan beberapa cabaran yang dihadapi oleh negara-negara membangun.

Beliau berkata ini termasuk penggantian antara menguruskan peralihan dan risiko fizikal, cabaran pelaksanaan mengenai strategi mitigasi dan penyesuaian iklim untuk memastikan NGFS kekal inklusif dan relevan.

Bagi BNM, memahami risiko iklim dan mengambil tindakan untuk memberi respons kepada risiko iklim bukanlah satu pilihan.

“Mengambil kira cabaran besar yang kita hadapi, agak melegakan bahawa kita tidak sendirian (dalam menghadapinya). Hanya menerusi kerjasama di dalam dan merentasi sempadan, kita dapat menangani cabaran itu dengan penuh tekad dan keyakinan,” katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)