Sektor pelancongan terjejas teruk, perlu bantuan kerajaan

Sektor pelancongan terjejas teruk, perlu bantuan kerajaan

KUALA LUMPUR,. Industri pelancongan yang terjejas teruk ekoran pandemik COVID-19 memerlukan ‘bantuan pernafasan’ dari kerajaan jika ingin terus kekal bertahan sekali gus membantu ekonomi negara berkembang, kata pemain industri berkenaan.

Ramai kalangan pemain industri berpendapat Belanjawan 2021 untuk sektor pelancongan perlu dinilai semula, selain diberikan sokongan yang jauh lebih baik bagi membolehkan mereka terus berada dalam sektor berkenaan.

Presiden Persatuan Hotel Bajet Malaysia (MYBHA), Emmy Suraya Hussein berkata jika Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) terus berlanjutan sehingga akhir tahun ini tanpa sebarang bantuan daripada kerajaan, sekurang-kurangnya 40 hotel bajet di kawasan bandar utama negara akan ditutup yang menyebabkan kira-kira 2,000 pekerja diberhentikan.

“Tiada jalan lain. Operator hotel tidak mampu untuk menanggung kos perbelanjaan termasuk gaji pekerja. Bayangkan, untuk dapatkan tempahan bilik satu malam pun susah. Bagaimana kami dapat bertahan dalam masa sebulan dua ini?”, katanya kepada Bernama.

Beliau berkata antara bantuan yang boleh diberikan kerajaan selain peruntukan khas adalah lanjutan moratorium supaya pemain industri akan dapat memfokus dengan menyusun kembali kewangan syarikat.

Selain itu, beliau mendakwa Skim Pembiayaan Sektor Pelancongan PENJANA sebanyak RM1 bilion yang diumumkan kerajaan, begitu sukar diperolehi dan hanya tiga peratus sahaja permohonan daripada 2,300 ahli persatuan yang diluluskan kerana peraturan ketat yang dikenakan pihak bank.

Presiden Persatuan Pemandu-Pemandu Pelancong Bumiputera Malaysia, Zulkifli Ismail pula berharap Belanjawan 2021 dapat dikaji semula dengan memberi bantuan ‘one-off’ sekurang-kurangnya RM1,000 kepada pemandu pelancong yang merupakan barisan hadapan pelancongan negara.

Beliau berkata ini kerana kira-kira 80 peratus dari 9,000 ahli persatuan adalah petugas separuh masa yang tidak mempunyai gaji tetap dan terkesan teruk sejak PKP dilaksanakan sehingga terpaksa membuat kerja-kerja lain.

Katanya antara bantuan lain yang boleh disalur kerajaan adalah menyediakan kawasan khas kepada persatuan dan ahli untuk memasarkan produk-produk pelancongan seperti kraf tangan dan pakaian, bagi menyemarakkan kembali industri pelancongan negara.

Sementara itu Presiden Majlis Pelancongan Malaysia (MTC) Uzaidi Udanis berpandangan peruntukan kerajaan terhadap usaha membaik pulih dan menyelenggara infrastruktur bangunan warisan seperti yang diumumkan dalam Belanjawan 2021, adalah tepat pada masanya.

Beliau berkata ketiadaan pelancong akibat pandemik COVID-19 membantu mempercepatkan lagi usaha berkenaan sekali gus memastikan bangunan warisan negara kekal terpelihara.

Persatuan Syarikat Pengendalian Pelancongan Bumiputera Malaysia (BUMITRA MALAYSIA) Mohd Ali Ab.Malek pula mencadangkan supaya peruntukan khas diberikan kepada sektor pelancongan, kerana selama ini hasil dari kutipan perbelanjaan pelancong telah banyak menyumbang selama berdekad-dekad lamanya.

“Peruntukan itu amat dinantikan komponen industri pelancongan yang terdiri dari agensi pelancongan dan pengembaraan, pengendali pelancongan, hotel dan rumah penginapan, pusat rekreasi dan taman tema, pengangkutan darat, pengendali makanan dan minuman serta pusat beli-belah.

“Sektor pelancongan terjejas teruk. Industri sedang tenat dan kini hanya mengharapkan bantuan daripada kerajaan,” tambahnya yang turut mencadangkan agar moratorium dilanjutkan sehingga pandemik COVID-19 selesai.

— Bernama

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)