Sektor penerbangan Malaysia penuh warna-warni pada 2019

Oleh Zarina Zainudin

KUALA LUMPUR, 25 Dis 25 – Tahun 2019 menyaksikan sektor penerbangan negara menempuh pelbagai cabaran seperti lebihan kapasiti di rantau ini, peningkatan kos, penurunan penilaian penarafan keselamatan udara, kerosakan sistem di lapangan terbang, selain pertumbuhan yang lebih perlahan dan kadar tukaran asing yang tidak menentu.

Syarikat penerbangan negara, Malaysia Airlines Bhd (MAB), terus menjadi tumpuan atas kerugan yang dialaminya.

Masalah muncul pada Mac apabila pemegang saham tunggalnya, Khazanah Nasional Bhd, menyumbang separuh daripada kekurangan RM7.3 bilion yang dicatatkan pada 2018 bagi memastikan MAB terus beroperasi,

Rentetan itu, keputusan dibuat untuk menjual MAB.

Lebih daripada 20 pihak menunjukkan minat termasuk Najah Air Sdn Bhd, sebuah syarikat tujuan khas yang dibentuk oleh sekumpulan ahli perniagaan yang diketuai oleh pengasas bersama AirAsia, Datuk Pahamin Ab Rajab.

Setakat ini, tawaran yang diterima tidak cukup menarik.

Dalam perkembangan positif, MAB dan Japan Airlines diberikan kelulusan untuk menjalin perjanjian perniagaan bersama pada 19 Dis, yang membolehkan kedua-dua syarikat penerbangan itu bekerjasama secara komersil dalam penerbangan antara Malaysia dan Jepun dan menyediakan pilihan penerbangan tambahan dan rangkaian yang lebih luas untuk pelanggan masing-masing.

MAB juga menandatangani perjanjian perkongsian kos dengan Turkish Airlines untuk memasuki pasaran masing-masing.

Selain MAB, AirAsia Group Bhd dan AirAsia X Bhd adalah dua lagi nama besar dalam industri ini.

AirAsia telah memperluas rangkaiannya ke beberapa laluan baharu termasuk Can Tho dan Da Lat di Vietnam dan Belitung di Indonesia, manakala AirAsia X memulakan penerbangan ke Okinawa Naha, Fukuoka dan Narita di Jepun.

AirAsia juga menambah kumpulan pesawat Airbus satu lorong dengan menukar 253 tempahan ke atas 320neo kepada versi A321neo yang lebih besar, selain meluaskan portfolio bukan sokongannya dengan menaik taraf perkhidmatan WiFi dalam pesawat, serta membuka restoran Santan dan T&CO di Kuala Lumpur.

Pada suku ketiga berakhir 30 Sept, 2019, pendapatan sampingan AirAsia meningkat sebanyak 26 peratus kepada RM686 juta dengan pendapatan sampingan syarikat penerbangan tradisional meningkat 16 peratus dan bukan tradisional sehingga 72 peratus.

Memandangkan margin kekal rendah dalam industri disebabkan kenaikan kos dan lebihan kapasiti, syarikat penerbangan tambang rendah seperti AirAsia terus memperkenal laluan lain untuk meningkatkan pendapatan.

Syarikat penerbangan lain di negara ini termasuklah MASwing Sdn Bhd, FlyFirefly Sdn Bhd, Malindo Airways Sdn Bhd, Raya Airways Sdn Bhd dan MyJet Express Sdn Bhd, manakala Scanda Sky PLT diberikan amaran kerana beroperasi tanpa Lesen Perkhidmatan Udara (ASL).

Dalam aspek operasi, berlaku kegagalan rangkaian yang mencetuskan gangguan sistem di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan klia2 pada 21 Ogos, yang tidak pernah berlaku sebelum ini.

Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) bertungkus-lumus menangani masalah itu kerana ia menjejaskan sistem paparan maklumat penerbangan, kaunter daftar masuk dan sistem pengendalian bagasi serta perhubungan WiFi.

Beribu-ribu penumpang terkandas dan kelewatan penerbangan selama empat hari.

Pengendali lapangan terbang kemudiannya membuat laporan polis kerana mengesyaki kegagalan sistem itu berpunca daripada niat jahat, dan kes itu sedang disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan.

Dari segi trafik penumpang, operasi MAHB meningkat 5.9 peratus kepada 78 juta antara Januari dan September, dengan KLIA mencatat peningkatan trafik sebanyak 3.3 peratus kepada 46.2 juta manakala lapangan terbang tempatan lain mencatat pertumbuhan agregat 10 peratus kepada 31.8 juta penumpang.

Angka setahun penuh mungkin lebih tinggi memandangkan suku keempat lazimnya merupakan suku paling kukuh.

Jumlah penumpang di semua lapangan terbang di Malaysia dijangka meningkat lima hingga enam peratus tahun depan, didorong oleh program Melawat Malaysia 2020 selain pertumbuhan tahunan kapasiti tempat duduk domestik meningkat 3.2 peratus tahun ke tahun.

Ini akan menjadikan jumlah trafik kepada antara 114.9 juta dan 116.0 juta penumpang.

Isu utama lain membabitkan penurunan kadar caj perkhidmatan penumpang (PSC), penurunan penarafan tahap keselamatan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM), penggabungan Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) dan CAAM, serta rangka kerja Asas Aset Terkawal Selia (RAB) baharu MAVCO.

Pada 30 Ogos, Menteri Pengangkutan Anthony Loke mengesahkan bahawa Kabinet telah bersetuju untuk menurunkan PSC kepada RM50 daripada RM73 di seluruh negara, kecuali mereka yang berlepas dari terminal utama KLIA.

Beliau berkata penurunan dibuat bagi mengurangkan beban cukai susulan pelaksanaan cukai levi baharu di bawah Akta Levi Berlepas 2019 yang dibuat pada 2 Sept. Bagi penerbangan domestik dan ASEAN di semua lapangan terbang, kadar PSC masing-masing kekal pada RM35 dan RM11.

Keputusan itu disambut baik oleh syarikat penerbangan.

Selesai sudah isu itu, muncul pula tindakan Pentadbiran Penerbangan Persekutuan Amerika Syarikat (FAA) menurunkan Malaysia kepada Kategori 2 dari segi aspek keselamatan, yang boleh menyebabkan syarikat penerbangan Malaysia tidak dapat membuka laluan baharu ke Amerika Syarikat, yang sekali gus membuka mata untuk tindakan pembetulan.

CAAM mengakui FAA AS telah menurunkan penarafan keselamatan udara Malaysia kerana kekurangannya sebagai pengawal selia penerbangan, selepas semakan semula ke atas FAA pada CAAM dilaksanakan pada April 2019.

Menteri Pengangkutan campur tangan dengan berkata kerajaan sedang menyusun satu pasukan pakar tempatan dan asing untuk membantu CAAM mendapatkan semula status pengawal selia penerbangan Kategori 1.

Pasukan petugas lapan anggota itu akan diketuai oleh bekas Ketua Pengarah Penerbangan Awam Datuk Kok Soo Chon. Daripada lapan, tiga terdiri daripada pakar antarabangsa dari Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO).

Loke juga mengumumkan penyatuan CAAM dan MAVCOM.

Beliau berkata ia dibuat demi kepentingan industri penerbangan memandangkan penyatuan itu akan memperkasa CAAM dari segi kewangan sebagai pengawal selia industri.

Keputusan itu, bagaimanapun dikritik terutama oleh Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), yang mengatakan bahawa MAVCOM telah memainkan peranannya dalam menjaga kesejahteraan pengguna penerbangan.

Naib Presiden Serantau Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) Asia Pasifik Conrad Clifford juga dilaporkan menggesa Kementerian Pengangkutan supaya menimbang semula keputusan untuk membubarkan MAVCOM, dengan mengatakan bahawa kebebasan kawal aturan ekonomi dalam CAAM perlu dipastikan.

Clifford berkata penggabungan dua pengawal selia penerbangan awam boleh menjejaskan kecekapan dan keberkesanan yang berjaya dicapai oleh MAVCOM sebagai pengawal selia bebas.

Ini menimbulkan persoalan siapa yang kini akan bertanggungjawab terhadap rangka kerja RAB yang baharu yang dijadual dilaksanakan pada 1 Jan, 2020.

RAB bermatlamat menjadikan caj aeronautik lebih telus dan pengusaha lapangan terbang lebih bertanggungjawab dan pada masa yang sama memastikan MAHB dibayar untuk pembangunan asetnya.

MAVCOM dilaporkan akan mengekalkan kos purata wajaran pracukai (WACC) pada 10.88 peratus dalam rangka kerja RAB, sekali gus memberikan kepastian dalam industri.

Ia juga menunjukkan bahawa WACC untuk rangka kerja 2020-2022 akan mempunyai perbelanjaan modal yang lebih rendah sebanyak RM3.99 bilion daripada RM5 bilion yang dicadangkan dalam Kertas Rundingan Kedua yang diterbitkan pada 18 Jun lepas.

Sebahagian besar, kira-kira 70-80 peratus, diperuntukkan untuk KLIA, terutama untuk menggantikan aerotren, penggantian sistem pengendalian bagasi, pengoptimuman terminal dan pembaikan turapan jalan, selain untuk klia2.

MIDF Research berkata ia percaya perbelanjaan modal yang lebih rendah adalah lebih mudah diurus kerana ia akan mengurangkan beban gearan MAHB, yang berjumlah 0.4 kali pada 30 Jun, 2019.

Di peringkat global, pengeluar pesawat Boeing telah menghentikan sementara pengeluaran model 737 Max, model yang terlibat dalam dua tragedi – pesawat Ethiopian Airlines yang terhempas berhampiran bandar Bishoftu enam minit selepas berlepas, dan jet Lion Air yang terhempas di Indonesia,yang mengorbankan 346 nyawa.

Malaysia serta-merta menghentikan semua penerbangan Boeing 737 Max ke dalam dan luar negara.

MAB, yang telah menempah 25 pesawat 737 Max dari Boeing dengan 25 lagi hak pembelian dalam perjanjian bernilai US$ 5.5 bilion, mengkaji semula perjanjian itu dan mendapatkan butiran lanjut teknikal daripada Boeing.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )