Sekumpulan pemimpin UMNO Sabah tidak setuju pelantikan Bung Moktar

Sekumpulan pemimpin UMNO Sabah tidak setuju pelantikan Bung Moktar

KUALA LUMPUR, 18 Ogos — Sekumpulan pemimpin Umno Sabah tidak bersetuju dengan pelantikan Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri Datuk Seri Bung Moktar Radin dalam mengetuai jentera Barisan Nasional (BN) Negeri menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

Ahli Majlis Tertinggi Umno yang juga Ketua Umno Bahagian Tuaran Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan berkata tindakan meletakkan seseorang yang mempunyai kes di mahkamah sebagai ‘jeneral’ dalam PRN itu boleh ‘membunuh diri’.

“Pada kami, Umno dan rakan mempunyai peluang cukup besar kerana Warisan gagal dan kepimpinannya lemah. Kita ada sebab untuk menang (pilihan raya). Kenapa beri peluru kepada pihak lawan? Tidak ada satu parti pun dalam dunia ini akan meletakkan seseorang yang aktif hadiri kes mahkamah, mengetuai kempen, ini langkah yang membunuh diri,” katanya.

Bekas Ahli Parlimen Kota Belud itu berkata demikian dalam satu sidang akhbar lewat malam ini, yang disertai kira-kira 12 orang pemimpin Sabah, termasuk ketua-ketua bahagian dan bekas pemimpin.

Petang tadi, Pengerusi Barisan Nasional merangkap Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dalam satu sidang media di Parlimen, mengumumkan pelantikan Ahli Parlimen Kinabatangan, Bung untuk mengetuai PRN Sabah itu.

Abdul Rahman berkata “kumpulannya” itu telah memohon untuk menemui Ahmad Zahid bagi menerangkan situasi di akar umbi namun tiada peluang untuk berbuat demikian.

— BERNAMA

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )