Selangor berpesta gol di Cheras

Selangor berpesta gol di Cheras

KUALA LUMPUR,. Pasukan Selangor meraih kemenangan terbesar pada saingan Liga Super musim ini setelah membelasah pasukan tercorot, Polis Diraja Malaysia (PDRM) 7-0, pada aksi di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras di sini malam ini.

Kemenangan ketiga diraih skuad Gergasi Merah menyaksikan pasukan berkenaan naik empat anak tangga ke kedudukan kelima carta Liga Super menerusi kutipan 14 mata selepas 10 perlawanan (tiga kemenangan, lima keputusan seri dan dua kekalahan), manakala PDRM masih gagal meraih sebarang mata selepas 10 perlawanan.

Pada aksi di Cheras, Selangor selesa mendahului 3-0 pada babak pertama perlawanan menerusi gol daripada Ifedayo Olusegun Omosuyi pada minit ke-19 dan dua gol daripada Sean Selvaraj masing-masing pada minit ke-26 dan ke-33.

Bersambung babak kedua perlawanan, skuad Gergasi Merah terus menambah derita pasukan tuan rumah setelah menambah empat lagi jaringan menerusi Brendan Gan pada minit ke-69, Ifedayo (minit ke-74), Muhammad Safuwan Baharudin (minit ke-80) serta pemain import dari Sepanyol, Rufino Segovia pada minit ke-83.

Dalam pada itu, Perak mencerahkan peluang untuk beraksi dalam saingan Piala Konfederasi Bola Sepak Asia pada musim hadapan setelah bangkit mengikat Pahang menerusi keputusan seri 3-3 pada aksi di Stadium Darul Makmur, Kuantan.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)