Selangor dominasi carta pelawat domestik pada 2019

Selangor dominasi carta pelawat domestik pada 2019

PUTRAJAYA,. Selangor mencatatkan jumlah perbelanjaan tertinggi pelawat domestik iaitu sebanyak RM15.5 bilion pada 2019, menurut laporan Survei Pelancongan Domestik Mengikut Negeri 2019.

Ia diikuti Kuala Lumpur iaitu sebanyak RM12.1 bilion, Sarawak RM8.7 bilion, Sabah RM8.1 bilion dan Perak RM7.8 bilion.

Ketua Perangkawan Malaysia Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin dalam satu kenyataan semalam berkata lima negeri tersebut menyumbang 50.6 peratus daripada keseluruhan perbelanjaan pelancongan domestik pada 2019.

Bagi jumlah kedatangan pelawat domestik, Selangor merekodkan jumlah tertinggi iaitu 33.6 juta orang, diikuti Kuala Lumpur 22.6 juta, Sabah 22 juta, Perak 21.1 juta dan Sarawak 19.8 juta, katanya.

“Daripada segi trend perjalanan bermalam, tujuan lawatan iaitu mengunjungi saudara-mara dan rakan-taulan merekodkan angka tertinggi bagi semua negeri,” katanya.

Mohd Uzir berkata, Melaka mencatatkan peratusan perjalanan tertinggi bagi tujuan percutian, iaitu 42.8 peratus daripada keseluruhan perjalanan, diikuti Pulau Pinang sebanyak 28.2 peratus, Pahang 26.6 peratus dan Sabah 21.5 peratus.

“Berdasarkan pilihan untuk jenis penginapan, majoriti pelancong memilih penginapan yang tidak berbayar seperti rumah saudara dan sahabat handai, kecuali bercuti di Melaka, Labuan dan Putrajaya,” katanya.

Mohd Uzir berkata, semua negeri mencatatkan jumlah pelawat domestik yang tinggi bagi kategori umur antara 25 hingga 39 tahun.

Bagi kelas pendapatan isi rumah pelawat domestik pula beliau berkata, Johor, Kedah, Kelantan, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Perlis, Terengganu, Sabah, Sarawak dan Labuan merekodkan peratusan tertinggi bagi pelawat domestik dengan pendapatan isi rumah antara RM1,001 hingga RM3,000 sebulan.

Pulau Pinang, Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya mencatatkan peratusan pelawat domestik tertinggi daripada kalangan isi rumah berpendapatan antara RM5,001 hingga RM10,000 sebulan, manakala Melaka adalah negeri yang paling banyak dikunjungi oleh pelawat domestik bagi isi rumah berpendapatan RM3,001 hingga RM5,000 sebulan, katanya.

— Bernama

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)