Selepas Tun Faisal, kini Ras Adiba Radzi pula sertai Bersatu

SEREMBAN: Selepas bekas ahli UMNO, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz mengesahkan menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), mantan Ahli Dewan Negara, Datuk Ras Adiba Radzi pula kini sah mengambil langkah sama.

Kedua-dua figura itu terdahulu menerima watikah keahlian daripada Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya Negeri (PRN) Perikatan Nasional (PN) Negeri Sembilan di Seremban, malam ini.

Penyerahan itu turut disaksikan Naib Presiden Pas Datuk Idris Ahmad, Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan Pengerusi PN Negeri Sembilan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Ras Adiba sebelum ini dilantik sebagai Senator bagi mewakili golongan kurang upaya pada Mei 2020 lalu iaitu ketika pemerintahan Muhyiddin. Beliau terdahulu turut menjadi wanita pertama dilantik sebagai Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) yang merupakan momen bersejarah kerana Malaysia kekurangan pemimpin kaum hawa lebih-lebih lagi daripada golongan kurang upaya.

Manakala, Tun Faisal yang juga bekas Timbalan Ketua UMNO Putrajaya, dilaporkan berkata beliau memilih menyertai Bersatu selepas mengambil kira peranan yang boleh dimainkannya dalam parti itu.
Selain itu, pada majlis sama Muhyiddin yang juga Pengerusi PN turut menerima borang keahlian daripada mantan Ketua Wanita PKR Negeri Sembilan, Azlimah Zamli dan Mantan Ketua Cabang PKR Jelebu, Yus Mazmu Ahmad Yusof.

-Agensi

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )