Semakan semula kadar pos komersial, keputusan tepat dan wajar

Semakan semula kadar pos komersial, keputusan tepat dan wajar

KUALA LUMPUR,. Kelulusan yang diberikan kerajaan berkaitan semakan semula kadar pos komersial adalah tepat dan wajar kerana ia akan membolehkan Pos Malaysia Berhad meningkatkan prestasi perkhidmatannya melalui penjanaan pendapatan tambahan menerusi kenaikan itu.

Kesatuan-kesatuan Pekerja Pos Malaysia Berhad dalam kenyataan hari ini berkata kerajaan memahami keperluan semakan semula kadar setem 60 sen yang kali terakhir dilakukan pada 2010.

Menurut kenyataan itu lagi, keprihatinan kerajaan dan semua agensi yang memberi sokongan penuh terhadap inisiatif itu turut menghargai segala usaha penghantar surat yang bertungkus-lumus menghantar surat kepada sembilan juta alamat di seluruh negara setiap hari.

“Kami amat menghargai keprihatinan YB Gobind Singh Deo ( Menteri Komunikasi dan Multimedia) dan agensi kerajaan berkaitan yang berpandangan jauh serta menyedari keperluan semakan kadar pos komersial bagi memastikan Pos Malaysia terus mampu menyediakan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat.

Sifat kepimpinan beliau harus dipuji, kerana mengambil tindakan proaktif untuk bertemu dan berdialog dengan wakil-wakil kesatuan Pos Malaysia dan memahami cabaran yang dihadapi industri,” kata kenyataan itu.

Semakan semula kadar pos komersial itu dapat membantu mengimbangi kos operasi yang tinggi dan penurunan dalam penggunaan mel disebabkan kewujudan teknologi yang menyediakan alternatif seperti e-mel.

“Kelulusan kadar pos baharu ini juga memberikan peluang kepada Pos Malaysia untuk menggerakkan program pembangunan jangka panjang yang dirancang dan dijangka memberi manfaat kepada bukan sahaja ahli kesatuan-kesatuan pekerja dengan lebih 12,000 kakitangan tetapi semua pekerja-pekerja Pos Malaysia di seluruh negara,” katanya.

Ketika ini 95 peratus pengguna setem terdiri daripada pelanggan komersial, manakala baki lima peratus adalah pengguna individu.

Dalam pada itu, kesatuan itu menyatakan akan meneruskan dedikasi demi amanah di bawah Obligasi Perkhidmatan Sejagat (USO) untuk menjalankan tugas bagi kepentingan seluruh negara.

Pos Malaysia dalam kenyataannya pada Selasa (28 Jan) memaklumkan akan melaksanakan semakan semula kadar pos komersial berkuatkuasa 1 Feb 2020, namun, langkah itu tidak akan menjejaskan rakyat.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )