Sembilan jambatan lengkapkan jalan pesisir Sarawak siap 2024, kata Abang Johari

Sembilan jambatan lengkapkan jalan pesisir Sarawak siap 2024, kata Abang Johari

MUKAH,. Kesemua sembilan projek pembinaan jambatan menyeberangi dan menghubungkan rangkaian jalan pesisir pantai di Sarawak yang sedang dalam pembinaan dijadualkan siap pada tahun 2024.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg hari ini berkata dengan siapnya jambatan-jambatan itu nanti, rakyat luar bandar negeri ini tidak perlu lagi menggunakan perkhidmatan feri untuk ke bandar-bandar, terutama bandar di kawasan pesisir pantai.

Menurutnya penggunaan perkhidmatan feri selama ini telah menyebabkan masa perjalanan menjadi lebih panjang terutamanya pada waktu puncak musim-musim perayaan atau pada hujung minggu.

“Kesemua (projek) jambatan ini berjaya dilaksanakan dalam tempoh tiga tahun dan apa yang penting kesemuanya tanpa tol,” katanya ketika berucap pada majlis pecah tanah projek Jambatan Igan di Kampung Igan dekat sini.

Pembinaan projek Jambatan Igan sepanjang 1.38 kilometer merentangi Sungai Batang Igan dengan kos RM285 juta itu akan menjadi pelengkap kepada rangkaian jalan pesisir yang menghubungkan kawasan pesisir dan luar bandar Sarawak.

Projek-projek jambatan lain yang menghubungkan rangkaian jalan pesisir ini termasuklah di Sungai Batang Rajang, Sungai Batang Paloh, Sungai Batang Lassa, Sungai Rambungan, Sungai Batang Lupar, Sungai Batang Kemena, Sungai Krian dan Sungai Batang Saribas.

Dalam sidang media selepas majlis itu, Abang Johari berkata selain pembinaan jambatan berkenaan, kerajaan negeri juga telah melaksanakan Skim Bekalan Elektrik Alternatif Luar Bandar (SARES) dan Skim Bekalan Air Alternatif Luar Bandar (SAWAS) untuk memperkasakan lagi pembangunan luar bandar Sarawak.

Beliau berkata pelaksanaan projek infrastruktur strategik berkenaan akan menjadi pemangkin kepada usaha menjadikan Sarawak sebagai sebuah negeri maju menjelang tahun 2030.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)