Sembilan platform e-dagang bantu hampir 10,000 peniaga kecil di Terengganu

Sembilan platform e-dagang bantu hampir 10,000 peniaga kecil di Terengganu

KUALA TERENGGANU, 23 April — Kerajaan Negeri Terengganu membangunkan sembilan platform e-dagang bagi memastikan hampir 10,000 peniaga kecil di negeri ini tidak terkesan dengan ketiadaan bazar Ramadan tahun ini susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan juga jangkitan wabak COVID-19.

Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Industri Mikro dan Hal Ehwal Penjaja negeri Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata ia adalah hasil gabungan kerjasama agensi keusahawanan, anak syarikat kerajaan negeri dan juga usahawan digital di Terengganu.

“Kerjasama ini jelas bertujuan memastikan peniaga dapat menjana pendapatan bukan sahaja pada bulan Ramadan, malah akan diteruskan selaras dengan perkembangan perniagaan dalam talian yang semakin berkembang.

“Kewujudan sembilan platform e-dagang ini secara tidak langsung juga memberi peluang rakyat Terengganu membeli juadah berbuka puasa secara dalam talian dan pada masa yang sama masih mengikut perintah PKP untuk tidak mengambil risiko keluar dan bersesak dengan orang ramai,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Antara platform yang diperkenalkan ialah GanuShop yang diselaraskan oleh Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu (YPU) manakala dua lagi anak syarikat kerajaan negeri yang terlibat ialah TD1303 dan Top IT Industries Sdn Bhd.

Top It Industries Sdn Bhd adalah pemilik dan penyelaras bagi platform Bazar Terengganu (sebelum ini dikenali sebagai payang.my) manakala TD1303 pula telah membantu syarikat ‘startup’ yang bernaung sebagai komuniti TD1303 iaitu getrunner.my, ganufresh.com, eruncit.my, Hungga Mart dan beberapa platform e-dagang yang lain.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Ariffin Deraman berkata terdapat beberapa lagi pihak yang telah bersama-sama kerajaan negeri mengambil inisiatif membina platform e-dagang untuk usahawan iaitu bazarganu.com, Bazar Online Terengganu (BOT),  T’Runner dan hellomytime.com.

“Saya percaya rutin baharu yang kita alami pada hari ini adalah satu peluang untuk kita sama-sama menggunakan konsep e-dagang sama ada sebagai peniaga ataupun pembeli.

“Budaya pendigitalan yang selama ini ditangguh penggunaannya oleh sesetengah pihak sebelum ini telah menjadi satu budaya yang sangat penting sepanjang PKP. Saya yakin, budaya pendigitalan ini akan meningkatkan nilai tambah dalam pertumbuhan ekonomi yang terjejas akibat COVID19,” katanya.

 — BERNAMA

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )