Semua agensi pertingkat koordinasi elak lewat salur maklumat pencemaran air
SHAH ALAM,. Semua agensi berkaitan alam sekitar dan sumber air di Selangor digesa meningkatkan koordinasi bagi mengelakkan kelewatan menyalurkan maklumat sekiranya berlaku pencemaran air pada masa depan.
Exco Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Orang Asli negeri Hee Loy Sian berkata, hanya dengan jalinan yang baik mampu untuk menyegerakan sebarang tindakan bagi membendung isu pencemaran sumber air.
“Menerusi mesyuarat Jawatankuasa Kecemasan Pencemaran Sumber Air di Selangor pada Isnin lepas, saya menerima maklumat bahawa kelewatan tindakan terhadap pencemaran yang berlaku di loji kumbahan Indah Water Konsortium (IWK) di Taman Velox, Rawang baru-baru ini disebabkan masalah koordinasi.
“Saya tidak mahu tuduh siapa salah atau siapa betul tapi apa yang saya lihat, komunikasi antara Pengurusan Air Sela-ngor Sdn Bhd (Air Selangor), Lembaga Urus Air Selangor (LUAS), Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), IWK dan pihak berkuasa tempatan perlu ditingkatkan,” katanya pada sidang media di sini semalam.
Menurut Hee, kelewatan tindakan itu berlaku susulan notis dalam bentuk surat daripada IWK mengenai insiden pencemaran air hanya diterima Majlis Perbandaran Selayang kira-kira 10 hari daripada tarikh kejadian sedangkan kerajaan negeri mempunyai saluran ‘WhatsApp Group Ops Sumber Air’ melibatkan semua pegawai tertinggi agensi terlibat.
“WhatsApp Group itu melibatkan semua pegawai tertinggi termasuk saya. Jadi, jika ada pencemaran berlaku dan dimaklumkan melalui platform berkenaan, kami akan ambil tindakan segera. Namun, saya diberitahu apa terjadi di Taman Velox tidak diberitahu menerusi aplikasi tersebut.
“Disebabkan itu, saya amat mengharapkan koordinasi antara satu sama lain akan dipertingkat pada masa depan supaya semua insiden (berkaitan pencemaran sumber air) dimaklumkan dengan cepat dan isu tersebut segera diselesaikan,” katanya.
Pada 10 November lepas, Loji Rawatan Air (LRA) Rantau Panjang serta Sungai Selangor Fasa (SSP) 1, 2 dan 3 dihenti tugas berikutan pencemaran sumber air mentah dipercayai berpunca dari kawasan industri kecil dan sederhana di Taman Velox, mengakibatkan gangguan bekalan air tidak berjadual melibatkan 1,139,008 akaun pengguna di Lembah Klang.
Dalam pada itu, Hee berkata LRA Rantau Panjang dihenti tugas hampir dua jam setengah bermula 7.10 petang semalam selepas dikesan wujud pencemaran bau sekitar satu TON di muka sauk loji, disyaki berpunca apabila air longkang di Su-ngai Gong meningkat akibat hujan lebat dan mengalirkan saki baki sisa kimia masuk ke sungai berkenaan sehingga ke muka sauk.
Bagaimanapun, Hee berkata henti tugas LRA Rantau Panjang itu tidak menyebabkan gangguan bekalan air kepada pengguna kerana ia kembali beroperasi pada 9.30 malam tadi selepas masalah pencemaran bau itu berjaya diatasi.
— Bernama