Senator Mohd Yusmadi dilantik pengerusi Kaukus Dewan Negara

Senator Mohd Yusmadi dilantik pengerusi Kaukus Dewan Negara

KUALA LUMPUR,. Senator Mohd Yusmadi Mohd Yusoff dilantik sebagai pengerusi Kaukus Dewan Negara selepas dipilih sebulat suara dalam mesyuarat kali pertama kaukus itu hari ini.

Mohd Yusmadi berkata timbalan pengerusi Kaukus pula disandang oleh Senator Datuk Mohd Suhaimi Abdullah.

Beliau berkata mesyuarat pada hari ini telah menetapkan terma rujukan sebagai hala tuju kaukus iaitu berperanan sebagai badan rundingan dan inkuiri terhadap isu-isu semasa dan permasalahan rakyat secara lebih efektif.

“Ia juga berperanan menerajui dan meneruskan usaha reformasi Dewan Negara, memperkasakan peranan ahli Dewan Negara dalam diplomasi parlimen dan memberi fokus kepada pembangunan kapasiti ahli Dewan Negara,” katanya pada sidang media di lobi Parlimen di sini hari ini.

Jelasnya, terma rujukan Kaukus Dewan Negara itu selari dengan hasrat kerajaan untuk memperkasakan pelaksanaan reformasi Parlimen Malaysia sebagai institusi perundangan yang bebas, berwibawa dan bertaraf dunia.

“Kaukus ini menjadi satu wadah untuk melanjutkan usaha reformasi Dewan Negara seperti mana kami telah lakukan sebelum ini melalui Jawatankuasa Kerja Reformasi.

“Kaukus ini juga sebagai wadah untuk membina kapasiti rakan-rakan senator iaitu dari segi program latihan, bengkel dan sebagainya agar rakan-rakan senator dan pegawai-pegawai di Dewan Negara dapat bersama-sama berkembang dan menjadikan Dewan Negara lebih berprestij,” katanya.

Mohd Yusmadi berkata dengan tertubuhnya kaukus berkenaan, Jawatankuasa Kerja Reformasi Dewan Negara yang dipengerusikan olehnya dibubarkan serta-merta dan agenda reformasi itu diteruskan melalui kaukus berkenaan.

“Kita tidak mahu banyak sangat jawatankuasa, kebanyakan yang terlibat adalah senator yang sama dan kaukus ini lebih rasmi dan diluluskan oleh Jawatankuasa Pemilih Dewan Negara” katanya.

Pada Isnin, Parlimen sekali lagi melakar sejarah dengan tertubuhnya sebuah Kaukus Dewan Negara iaitu yang pertama di negara ini.

Keahlian kaukus terdiri daripada 13 ahli senator iaitu Senator Mohd Yusmadi, Senator Datuk Mohd Suhaimi, Senator Datuk Paul Igai, Senator Datuk Ismail Yusop, Senator Datuk Razali Idris, Senator Nga Hock Cheh, Senator Datuk Theodore Douglas Lind, Senator Datuk Ismail Ibrahim, Senator Datuk Dr S Ananthan, Senator Datuk Lee Tian Sing, Senator Asmak Husin, Senator Raj Munni Sabu dan Senator Adrian Lasimbang.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)