Sentimen positif dorong Ringgit tinggi semasa awal dagangan

Sentimen positif dorong Ringgit tinggi semasa awal dagangan

KUALA LUMPUR,. Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar AS hari ini didorong beberapa laporan positif yang sekali gus mempengaruhi prestasi mata wang selamat dolar AS, dengan peserta pasaran menjangkakan situasi kelembapan ekonomi terburuk akibat COVID-19 telah melepasi Asia dan negara maju.

Pada 9.11 pagi, ringgit berada pada 4.2900/2960 berbanding dolar AS daripada 4.3150/3200 semasa ditutup semalam.

Kenaikan harga minyak mentah global juga mendorong sentimen pasaran terhadap ringgit menjadi lebih baik.

Penganalisis Kanan Pasaran bagi Asia Pasifik, OANDA, Jeffrey Halley menerusi nota penyelidikan berkata harga minyak mentah meningkat semula dengan ketara pada Jumaat.

Beliau berkata minyak Brent dan WTI mencatatkan lonjakan hampir 90 peratus pada Mei selepas Presiden AS Donald Trump memutuskan perjanjian perdagangan AS-China kekal tidak terjejas pada Jumaat.

“Semalam kedua-dua kontrak itu meningkat semula didorong Indeks Pengurus Pembelian (PMI) pembuatan dari China dan negara Asia lain yang menunjukkan data memberangsangkan. Justeru, gelombang baharu pembeli yang ramai dapat dilihat dalam dagangan pemulihan ekonomi di seluruh pasaran.

“Mengandaikan tiada laporan mengejutkan akan menjejaskan kenaikan itu, minyak mentah Brent diunjurkan mencecah paras US$40 setong,” katanya.

Beliau berkata penggunaan minyak dijangka meningkat dalam tempoh terdekat dengan data PMI menunjukkan pemulihan sektor pembuatan selain perintah berkurung berakhir di seluruh dunia.

Bagaimanapun, potensi suram bagi harga minyak mentah bergantung kepada mesyuarat OPEC+ yang diawalkan kepada 4 Jun ini daripada 9 hingga 10 Jun.

Sementara itu, ringgit diniagakan tinggi kebanyakannya berbanding kumpulan mata wang utama.

Mata wang tempatan susut berbanding pound Britain kepada 5.3659/3747 daripada 5.3454/3533 ketika ditutup semalam namun naik berbanding dolar Singapura kepada 3.0497/0544 daripada 3.0620/0660.

Ringgit meningkat berbanding yen Jepun kepada 3.9866/9933 daripada 4.0099/0156 semalam dan tinggi berbanding euro kepada 4.7743/7827 daripada 4.7953/8021.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )