Serangan Melaka United masih tumpul – Zainal Abidin

Serangan Melaka United masih tumpul – Zainal Abidin

MELAKA,. Bahagian serangan yang tumpul merupakan antara perkara menjadi agenda utama perlu ditangani Melaka United dalam persediaan mengharungi saingan Liga Super yang bakal bermula dua minggu lagi.

Pengendalinya, Zainal Abidin Hassan berkata gerakan penyudah pasukan itu dilihat masih tidak berfungsi dengan sempurna, seterusnya perlu diperkemas untuk memastikan pasukan itu berada di tahap terbaik menjelang aksi sulung Liga Super bertemu UITM FC pada 29 Feb ini.

Katanya beliau juga optimis dengan kemampuan skuad yang dibentuk sejak beberapa bulan lalu, selain dilihat mempamerkan persefahaman selepas beberapa siri perlawanan persahabatan pramusim termasuk di Jelajah Bandung, Indonesia.

“Memang kita nampak permainan mereka lebih tersusun, bahagian pertahanan juga menjalankan tugas dengan baik, namun acuan dalam pasukan itu sangat penting dan kita telah nampak keserasian selain berjaya menyatukan mereka.

“Masih berbaki dua perlawanan persahabatan dan ia sudah tentu akan dijadikan platform untuk memantapkan lagi kombinasi pemain untuk benar-benar bersedia, terutama dengan kemasukan pemain baharu dalam pasukan,” katanya ketika ditemui selepas perlawanan persahabatan di Stadium Hang Jebat, Krubong di sini, malam tadi.

Terdahulu dalam aksi persahabatan Melaka United bertemu Terengganu FC II itu, menyaksikan kemenangan 1-0 berpihak kepada tuan rumah menerusi jaringan pemain import dari Haiti, Sony Norde di minit ke-76.

Mengulas lanjut, Zainal yang juga pemain kebangsaan era 80-90an berkata kemasukan pemain kacukan Thailand-British, Narupon Wild Putsorn dengan keupayaan dan pengalaman pemain itu yang pernah bermain dalam kelab tertinggi di Thailand dilihat dapat memantapkan lagi persediaan skuad Sang Kancil.

Beliau berkata pada awalnya Melaka United tidak merancang mendapatkan khidmat pemain import bagi kuota Asean selepas pemain sayap Filipina musim lepas Patrick Riechelt memilih untuk tidak lagi menyambung khidmatnya bersama Melaka United.

“Apabila saya diberi kebenaran oleh pihak pengurusan terutamanya Presiden Persatuan Bola Sepak Melaka United (MUSA), saya memilih Narupon untuk isi kekosongan itu kerana beliau ada teknik dan kemahiran tersendiri yang diperlukan pasukan,” katanya.

Narupon yang berusia 31 tahun menandatangi kontrak bersama skuad Hang Tuah pada Jumaat lepas merupakan seorang pemain yang mampu beraksi di posisi pertahanan tengah dan ‘defensive midfielder’.

Sebelum beraksi di Thai League 1, beliau adalah antara produk pembangunan liga kelab Wales, The New Saints (TNS).

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )