Shahrol Azral tidak pernah lihat tandatangan Jho Low pada dokumen 1MDB

Shahrol Azral tidak pernah lihat tandatangan Jho Low pada dokumen 1MDB

KUALA LUMPUR,. Bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1Malaysia Development Berhad (1MDB) Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi tidak pernah melihat tandatangan Low Taek Jho atau Jho Low, pada mana-mana dokumen syarikat walaupun ahli perniagaan dalam buruan itu terlibat sejak hari pertama penubuhan syarikat pembangunan strategik milik kerajaan itu.

Semasa memberi keterangan pada perbicaraan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak melibatkan dana 1MDB hari ini, Shahrol Azral, 49, memberitahu Mahkamah Tinggi di sini bahawa beliau tidak dapat mengenal pasti tandatangan Jho Low semasa dirujuk kepada satu dokumen yang dikemukakan peguam utama Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah.

Muhammad Shafee: Seseorang menandatangani dokumen ini pada 9 Jun, 2009. Tandatangan siapa ni?

Shahrol Azral: Saya tidak tahu.

Muhammad Shafee : Bukan tandatangan Jho Low?

Shahrol Azral: Saya tidak tahu.

Muhammad Shafee : Kamu tidak boleh cam?

Shahrol Azral: Tidak.

Muhammad Shafee: Sejak beberapa tahun kamu mengenali Jho Low, kamu tidak boleh kenal tandatangan dia?

Shahrol Azral: Tidak.

Muhammad Shafee: Kenapa?

Shahrol Azral: Kerana saya tidak pernah melihat dokumen yang dia tandatangani.

Muhammad Shafee: Tidakkah ia mencurigakan? Bukankah ini satu petanda suatu yang tidak baik?

Shahrol Azral: Ia tidak mencurigakan saya.

Muhammad Shafee: Mengapa?

Shahrol Azral: Sebab dia tidak mempunyai sebarang urusan rasmi dengan 1MDB.

Menurut kenyataan saksi Shahrol Azral setebal 270 muka surat, Jho Low tidak mempunyai kuasa rasmi dalam tadbir urus Lembaga Pelaburan Terengganu (TIA), sebelum dinamakan kepada 1MDB, tetapi masih dapat mempengaruhi keputusan pada tahap eksekutif apabila TIA ditubuhkan pada 2009.

TIA kemudiannya mengeluarkan resolusi rasmi mengenai pelantikan Jho Low pada 8 April pada tahun yang sama.

Bekas CEO 1MDB itu berkata beliau tidak pernah tahu bahawa syarikat yang mempunyai kaitan dengan Jho Low yang menjadi dua pelanggan sekunder bon 1MDB pada 2009.

Kedua-dua syarikat itu, Aktis Singapore Pvt Ltd dan Country Group, mempunyai kaitan dengan Jho Low di mana beliau adalah benefisiari untuk Aktis manakala bapanya, Larry Low memiliki Country Group.

Ketika ditanya Muhammad Shafee sama ada beliau bersetuju bon boleh dijual pada diskaun, saksi itu berkata: “Ya”.

Muhammad Shafee: Bon ini dijual pada diskaun? Berapa banyak?

Shahrol Azral: Saya tidak pasti dengan tepat.

Muhammad Shafee: Ia dijual kepada dua syarikat yang ada kaitan dengan Jho Low pada harga diskaun …kemudiannya dijual semula kepada entiti kerajaan Malaysia pada harga penuh.

Shahrol Azral: Saya tidak tahu.

Muhammad Shafee: Tanpa pengetahuan TIA, dia mengaut keuntungan yang banyak di depan mata TIA.

Shahrol Azral: Sebenarnya di depan mata Ambank.

Muhammad Shafee: Bukan Ambank. Ambank tahu perkara ini. Tanpa pengetahuan TIA.

Shahrol Azral: Oh ya.

Muhammad Shafee: Pada dasarnya Ambank berkomplot dengan Jho Low tanpa pengetahuan TIA.

Shahrol Azral: Betul.

Najib, 66, berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh rasuah berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan pertuduhan 21 pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung esok.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)