Shahruddin sah letak jawatan Timbalan Menteri Kerja Raya

JOHOR BAHRU, 4 Jun — Ahli Parlimen Sri Gading Datuk Dr Shahruddin Md Salleh hari ini mengesahkan meletak jawatan sebagai Timbalan Menteri Kerja Raya.

Perkara itu dimaklumkan Shahruddin kepada Bernama menerusi WhatsApp, selepas tular di media sosial mengenai peletakan jawatannya hari ini.

“Ya, benar (saya meletakkan jawatan),” katanya ringkas.

Dalam mesej yang tular itu, Shahruddin menjelaskan beliau memutuskan untuk meletak jawatan itu setelah melakukan ijtihad politik yang kurang tepat dengan menyertai kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan mahu memperbetulkan tindakan tersebut.

“Saya seharusnya meletakkan keutamaan kepada pengundi Parlimen Sri Gading yang memilih Pakatan Harapan dalam Pilihan Raya Umum ke-14.

“Sebagai langkah awal bagi memperbetulkan kesilapan ini, maka saya meletak jawatan kerana saya dilantik ke jawatan ini oleh Perdana Menteri daripada kerajaan PN,” katanya.

Sementara itu, Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof, ketika dihubungi Bernama, berkata surat peletakan jawatan telah diserahkan Shahruddin sendiri kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, petang tadi.

“Ya, dia (Shahruddin) sudah maklumkan kepada saya yang dia letak jawatan sebagai Timbalan Menteri (Kerja Raya).

“Dia beri salinan (surat peletakan jawatan) kepada saya,” katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )