Shalin, Nicol, Pandelela kongsi kejayaan dan kegagalan dalam karier

Shalin, Nicol, Pandelela kongsi kejayaan dan kegagalan dalam karier

KUALA LUMPUR,. Bergelar atlet juara, bukan sekadar keseronokan dilingkari kegemilangan dan kegembiraan meraih kemenangan tetapi juga harus bijak menangani kegagalan, kekecewaan dan pengorbanan.

Pemain boling wanita tersohor Malaysia Shalin Zulkifli, bekas legenda skuasy Datuk Nicol David dan ratu terjun negara Pandelela Rinong hari ini berkongsi kisah kejayaan mereka dan juga bagaimana mereka berjaya mengatasi halangan untuk muncul antara bintang sukan terbaik negara.

Setelah dinobatkan Anugerah Olahragawati Malaysia tiga kali pada tahun 1997, Shalin yang ketika itu berusia 20 tahun menjadi harapan tuan rumah memenangi pingat emas Malaysia pada Sukan Komanwel 1998 tetapi hanya sekadar meraih perak dalam acara beregu wanita (bergandingan dengan Lai Kin Ngoh).

“Memenangi perak sudah cukup baik, tetapi kerana saya terlalu memikirkan emas dan menghadapi banyak tekanan dan harapan, saya merasakan itu adalah satu kegagalan. Oleh itu, selepas itu saya berehat, memutuskan untuk menyusun dan menyesuaikan semula keutamaan saya…saya melanjutkan pelajaran dalam sains sukan di Universiti Malaya.

“Saya fikir itu adalah keputusan terbaik dalam hidup saya kerana bila belajar di sana, saya faham kenapa saya perlu lakukan perkara tertentu dan kenapa ia mesti dilakukan dengan cara tertentu. Ia menjadikan saya seorang atlet yang lebih baik dan membolehkan saya bertahan lama,” katanya dalam sesi webinar bertajuk “Wanita dalam Sukan 2020: One In A Million” anjuran Majlis Sukan Negara (MSN).

Dalam webinar yang dihoskan bekas pemain skuasy Sharon Wee, Shalin turut bersyukur atas kelonggaran dan peluang buat atlet wanita mengejar impian mereka di negara ini, sesuatu yang tidak dapat dinikmati di beberapa negara.

Sementara itu, bekas juara dunia lapan kali, Nicol berkata untuk membangunkan lebih ramai bakat muda bergelar bintang dalam bidang sukan, jurulatih di peringkat negeri harus turun padang, mengunjungi sekolah untuk menggalakkan pelajar aktif bersukan.

“Kita mempunyai ramai yang berbakat dan mereka teruja untuk ke depan tetapi tidak diberi peluang. Mudah-mudahan lebih banyak program disusun untuk peringkat sekolah, bukan hanya kelas pendidikan jasmani kita tetapi memberi peluang kepada pelajar untuk bermain sukan dan mencuba bakat mereka dalam perkara yang berbeza.

“Sekarang kita hanya tunggu untuk kemunculan seseorang. Bila bakat ini dikesan di MSN atau persatuan negeri, sudah terlambat untuk digilap. Mudah-mudahan dapat jejak mereka di peringkat sekolah,” kata bekas pemain nombor satu dunia itu sambil merujuk kepada Pandelela sebagai contoh bakat yang dibangunkan dari sekolah.

Mengimbau kembali beberapa cabaran yang dihadapinya, Nicol berkata merangkul kejuaraan Skuasy Wanita Dunia buat kali kelapan dan terakhirnya pada 2014, termasuk menewaskan beberapa pemain Mesir di tanah air mereka sendiri, kejayaan yang amat istimewa baginya.

Berkongsi ceritanya, pemenang pingat Olimpik dua kali Pandelela berkata kariernya dalam sukan terjun bermula pada usia lapan tahun apabila jurulatih datang ke sekolah rendahnya mencari bakat muda untuk sukan akuatik.

“Jurulatih menjelaskan mengenai sukan terjun dan hakikat ia adalah Sukan Olimpik. Jadi saya tertarik dan mahu mencuba… Kemudian secara beransur-ansur saya sedar, saya tidak takut pada ketinggian (untuk melompat dari platform) berbanding pelajar lain. Meraih beberapa pencapaian dalam negara sebelum memberi tumpuan kepada sukan terjun,” katanya.

Menjelang usia 15 tahun, anak jati Kuching itu sudah pun bersaing di Sukan Olimpik Beijing 2008. Dia tidak bersedia dari segi mental dan fizikal untuk penampilan sulungnya, tetapi menimba pengalaman daripada kegagalan itu untuk melakar kejayaan, menghadiahkan pingat sulung negara dalam acara terjun, 10 meter platform wanita pada edisi London 2012.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )