Shopee teruskan kempen beli barangan malaysia semasa ‘11.11 Big Sale’
KUALA LUMPUR,. Platform e-dagang, Shopee akan meneruskan kempen Beli Barangan Malaysia semasa ‘11.11 Big Sale’ untuk menggalakkan pembelian produk buatan Malaysia sekali gus membantu usahawan tempatan mengembangkan perniagaan.
Pengarah Urusan Serantau Shopee, Ian Ho berkata semasa Festival Jenama 10.10, pihaknya mencatatkan peningkatan jualan sebanyak 100 peratus serta kenaikan tempahan sebanyak 132 peratus bagi barangan buatan Malaysia.
“Berdasarkan 3,350 unit penyimpanan stok buatan Malaysia diketengahkan di laman koleksi Buatan Malaysia, kami amat yakin kempen ini akan berjaya untuk terus menyokong perusahaan kecil dan sederhana tempatan,” katanya semasa pelancaran ‘11.11 Big Sale’ Shopee di sini, hari ini.
Beliau berkata ‘11.11 Big Sale’ yang dinanti-nantikan itu akan kembali dengan kempen kebajikan buat kali pertama, ‘11.11 Charity Challenge’ #ShopeeMAKNA, bertujuan mengumpul dana untuk Majlis Kanser Nasional Malaysia (MAKNA).
Hasil sumbangan akan disalurkan untuk membiayai rawatan pesakit yang kurang berkemampuan, selain penyelidikan dan perkhidmatan sokongan oleh MAKNA dalam usaha berterusan badan itu mencari penawarnya.
“Rakyat Malaysia boleh menyumbang menerusi kedai rasmi ShopeeMAKNA di Shopee dengan memilih jumlah yang ingin disumbangkan bermula serendah RM5. Penyumbang layak mendapatkan resit potongan cukai daripada MAKNA,” katanya.
Shopee juga bekerjasama dengan Pusat Perubatan Sunway untuk menggalakkan rakyat Malaysia menjalani pemeriksaan kanser.
Justeru itu, 300 penyumbang pertama yang menderma RM100 akan menerima ujian darah percuma manakala 50 penyumbang pertama dengan nilai sumbangan RM250 akan menerima pakej mamogram 3D juga secara percuma.
Pengarah Pembangunan Perniagaan dan Komunikasi Korporat Pusat Perubatan Sunway, Dr Michelle Mah berkata ramai pesakit kanser lewat untuk mendapatkan rawatan.
“Menerusi kerjasama dengan Shopee, kami akan mendidik orang ramai selain mewujudkan kesedaran mengenai pentingnya pengesanan awal bagi hasil rawatan lebih baik,” katanya.
Sementara itu, Pengurus Besar Makna, Farawahida Mohd Farid berkata 37,000 kes kanser baharu dikesan setiap tahun di Malaysia dan angka itu dianggarkan meningkat kepada lebih 55,000 menjelang 2030.
“Kami gembira apabila mengetahui pembeli boleh melakukan lebih daripada sekadar membeli-belah secara dalam talian dan ini memudahkan mereka yang mahu membantu namun tidak tahu caranya atau ragu-ragu tentang kredibiliti pengumpul dana,” katanya.
Mereka yang berhasrat menyalurkan sumbangan kepada MAKNA boleh layari https://shopee.com.my/shopeemakna
— BERNAMA